BINTULU: Sarawak mempergiat transformasi sektor perindustriannya ke arah ekonomi rendah karbon menerusi pelaksanaan empat inisiatif perintis di bawah Kluster Peralihan Industri (Transitioning Industrial Clusters atau TIC), manakala Bintulu menjadi antara pemacu utama pembangunan ekosistem industri berteknologi tinggi dan mampan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, empat inisiatif berkenaan dirangka bagi mempercepat peralihan industri kepada operasi lebih cekap, penggunaan teknologi moden, pengoptimuman sumber serta pembangunan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi.

Menurutnya, transformasi itu bukan sekadar tertumpu kepada usaha mengurangkan pelepasan karbon, sebaliknya melibatkan perubahan menyeluruh terhadap pendekatan operasi industri bagi memastikan sektor berkenaan kekal berdaya saing dalam menghadapi tuntutan ekonomi global yang semakin menekankan aspek kelestarian.
Beliau berkata, empat inisiatif berkenaan ialah Operasi Pembuatan Pintar (Smart Manufacturing Operations), Hab Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon Sarawak (Sarawak CCUS Hub), Simbiosis Industri (Industrial Symbiosis) serta Inisiatif Pembangunan Bakat TIC Bintulu (Bintulu TIC Talent Initiative).
“Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, Sarawak memainkan peranan dalam melindungi alam sekitar. Sebab itulah kita menekankan kepentingan kelestarian dalam pembangunan.
“Kita telah mengambil langkah mengawal pelepasan karbon dan mencari sumber tenaga alternatif bagi menggantikan bahan api fosil, termasuk meneroka potensi hidrogen sebagai sumber tenaga masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kelestarian Bintulu (BiSA) di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, pendekatan itu selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang meletakkan kelestarian alam sekitar sebagai salah satu daripada tiga teras utama pembangunan Sarawak, selain kemakmuran ekonomi dan keterangkuman sosial.
Menurutnya, komitmen negeri terhadap pembangunan industri rendah karbon turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa menerusi perhatian Forum Ekonomi Dunia (WEF) terhadap pembangunan kluster industri rendah karbon baharu di Sarawak.
Mengulas lanjut tentang inisiatif pertama, beliau berkata, Operasi Pembuatan Pintar memberi tumpuan kepada penerapan teknologi digital, automasi, kesalinghubungan dan penggunaan data bagi mengoptimumkan proses pengeluaran serta meningkatkan produktiviti industri.
Katanya, asas ekonomi digital yang dibangunkan Sarawak sejak 2017 menjadi pemangkin kepada usaha mempercepat penggunaan teknologi dalam sektor pembuatan, sekali gus membolehkan operasi industri dilaksanakan dengan lebih cekap, sistematik dan mampan.
Inisiatif kedua pula membabitkan pembangunan Hab CCUS Sarawak yang membuka peluang kepada penerokaan teknologi pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon sebagai antara penyelesaian bagi mengurangkan pelepasan karbon daripada aktiviti perindustrian.
Teknologi berkenaan juga berpotensi menyokong pembangunan industri berkaitan tenaga masa depan, termasuk pengeluaran hidrogen, sekali gus memperluas pilihan sumber tenaga rendah karbon bagi memenuhi keperluan sektor industri.
Sementara itu, inisiatif Simbiosis Industri memberi penekanan kepada kerjasama antara pemain industri melalui perkongsian sumber, penggunaan semula hasil sampingan pengeluaran dan pengurangan sisa menerusi pendekatan ekonomi kitaran.

Abang Johari berkata, sisa daripada sesuatu proses perindustrian tidak seharusnya dianggap sebagai bahan buangan semata-mata, sebaliknya perlu dilihat sebagai sumber ekonomi yang berpotensi menghasilkan produk bernilai tambah.
Mengambil contoh industri kelapa sawit, beliau berkata, hasil sampingan sektor berkenaan boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan baja, makanan ternakan, bahan api penerbangan mampan (SAF) serta pelbagai produk lain yang mempunyai nilai komersial.
“Jangan bazirkan sisa, sebaliknya jadikan sisa sebagai sumber ekonomi.
“Inilah asas kepada ekonomi kitaran yang bukan sahaja membantu memelihara alam sekitar, malah mampu memperkukuh ekonomi kita,” katanya.
Inisiatif keempat pula memberi tumpuan kepada pembangunan bakat menerusi Bintulu TIC Talent Initiative bagi meningkatkan kemahiran teknikal dan keupayaan tenaga kerja tempatan untuk memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang ke arah penggunaan teknologi moden serta amalan rendah karbon.
Beliau berkata, pembangunan bakat tempatan penting bagi memastikan rakyat Sarawak bukan sekadar menjadi sebahagian daripada proses transformasi industri, malah berupaya mengisi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang bakal diwujudkan menerusi pelaburan dan perkembangan teknologi baharu.
Jelasnya lagi, pelaksanaan keempat-empat inisiatif itu dijangka menyumbang kepada pembentukan ekosistem perindustrian yang lebih bersepadu di Bintulu, dengan menggabungkan inovasi teknologi, kecekapan penggunaan sumber, pembangunan modal insan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar.
Usaha berkenaan turut membuka ruang kepada Sarawak untuk menarik pelaburan dalam sektor industri generasi baharu, khususnya yang memerlukan penyelesaian tenaga lebih bersih, teknologi rendah karbon dan amalan pengeluaran mampan, sekali gus menyokong aspirasi negeri membangunkan ekonomi bernilai tinggi,” tambahnya.







