KANOWIT: Dua lelaki cedera selepas dua kenderaan bertembung di Jalan Kanowit-Song, di sini, hari ini, dengan salah sebuah kereta terbakar dan musnah sepenuhnya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.27 pagi itu, kedua-dua mangsa yang masih berada dalam kenderaan masing-masing berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.27 pagi.
Katanya, sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit kemudian digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 9.34 pagi.
“Pasukan bomba mendapati sebuah daripada kenderaan terbabit sedang terbakar, manakala sebuah lagi mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
“Dua mangsa lelaki dewasa telah dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman dengan dua aliran salur bantu mula bagi mengawal kebakaran yang memusnahkan seluruh kenderaan berkenaan.
“Api berjaya dikawal pada jam 9.45 pagi dan operasi keseluruhan ditamatkan pada jam 10.07 pagi selepas keadaan di lokasi disahkan selamat,” katanya.






