TANJUNG MANIS: Pembukaan Jambatan Batang Paloh bukan sahaja memendekkan perjalanan penduduk Pulau Bruit ke kawasan bandar, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi, khususnya kepada peniaga kecil.
Perkembangan itu dapat dilihat menerusi Pesta Pulau Bruit baru-baru ini, yang disertai 120 gerai dengan jumlah hasil jualan hampir RM400,000 sepanjang program.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Datuk Yusuf Abd Wahab berkata, pencapaian berkenaan membuktikan kemudahan infrastruktur seperti Jambatan Batang Paloh mampu memberi kesan langsung terhadap aktiviti ekonomi serta kehidupan masyarakat setempat.
“Jambatan ini sangat penting kerana dalam tempoh seminggu selepas pembukaannya, aliran kenderaan ke kawasan ini begitu tinggi, terutama pada hujung minggu sehingga berlaku kesesakan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Yusuf berkata, peningkatan pergerakan itu turut memperlihatkan semakin ramai penduduk dari kawasan pulau dan Daro berkunjung ke Sarikei, selain meneruskan perjalanan ke Sibu bagi mendapatkan keperluan dan menjalankan urusan masing-masing.
Katanya, perkembangan itu menjadi antara petunjuk bahawa kemudahan perhubungan yang lebih baik mampu merangsang pembangunan setempat, sebagaimana kesan positif yang pernah dilihat selepas pembukaan beberapa jambatan lain di Sarawak termasuk Jambatan Muara Lassa.
“Jambatan ini jangan hanya dilihat sebagai kemudahan untuk kita melaluinya, bergambar atau menghasilkan kandungan media sosial. Sebaliknya, kita perlu melihatnya sebagai laluan untuk meningkatkan pendapatan dan mengembangkan sumber ekonomi keluarga.
“Penduduk kini mempunyai peluang lebih baik untuk membawa hasil pertanian, ikan dan produk tempatan ke bandar seperti Sarikei dan Sibu untuk dipasarkan dengan lebih mudah,” katanya.
Beliau berkata, pembukaan Jambatan Batang Paloh perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat sebagai pemangkin peningkatan taraf sosioekonomi, termasuk mengembangkan perusahaan kecil serta mencari peluang pasaran baharu.
Katanya, pembangunan infrastruktur yang disediakan kerajaan hanya benar-benar memberi manfaat apabila digunakan masyarakat untuk memperkukuh ekonomi, meningkatkan pendapatan dan mewujudkan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga.
Jumlah jualan pada hari pertama direkodkan sebanyak RM39,514, meningkat kepada RM113,920.50 pada hari kedua sebelum melonjak kepada RM160,865 pada hari ketiga, manakala angka berkenaan terus meningkat kerana rekod dibuat sehingga operasi jualan berakhir pada jam 11 malam.





