KOTA SAMARAHAN: Golongan belia Sarawak digalak meneroka keusahawanan berasaskan koperasi sebagai alternatif memulakan perniagaan, khususnya bagi mereka yang berdepan kekangan modal.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (Pembangunan Usahawan) Datuk Dr Ripin Lamat berkata, model koperasi membolehkan beberapa individu menggabungkan modal dan kepakaran untuk membangunkan perniagaan bersama.
“Jika 30 orang masing-masing menyumbang RM1,000, mereka sudah mempunyai modal RM30,000. Sumbangan kecil apabila dikumpulkan boleh menjadi jumlah yang besar,” katanya ketika berucap pada Program Bicara Ilmu Minda Tekno, Kelebihan Kecerdasan Buatan di Kolej Teknologi Termaju (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTK), di sini, hari ini.
Pada masa sama Dr Ripin memberitahu, kementeriannya memberi tumpuan kepada usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda, selaras dengan takrifan belia di Sarawak yang merangkumi mereka berusia 15 hingga 40 tahun.
Katanya, golongan muda, khususnya graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), perlu melihat keusahawanan sebagai pilihan kerjaya dan tidak hanya bergantung kepada pekerjaan makan gaji.
Tambahnya, graduan dalam bidang teknikal seperti automotif dan penyelenggaraan penyaman udara mempunyai kelebihan dari segi pengetahuan serta kemahiran yang boleh dijadikan asas untuk memulakan perniagaan.
Menurut Dr Ripin, graduan TVET juga boleh menimba pengalaman dalam alam pekerjaan sebelum beralih kepada keusahawanan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada graduan lain pada masa depan.
Katanya, pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan menyediakan bantuan pembiayaan, latihan serta sokongan kepada usahawan muda, justeru belia perlu proaktif mendapatkan maklumat kemudahan berkenaan.
Beliau menjelaskan, kerajaan Sarawak turut menyediakan sokongan kepada syarikat pemula belia menerusi latihan keusahawanan intensif dan bantuan bagi membolehkan peserta mengembangkan idea sehingga memulakan perniagaan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan golongan muda supaya memanfaatkan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab, tanpa bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang dijana.



