PENYANYI dan pelakon Bella Astillah menegaskan pemilihan sembilan pengapit bagi majlis perkahwinannya dibuat berdasarkan ketulusan persahabatan, bukannya populariti atau status sebagai selebriti.
Menerusi hantaran di media sosial, Bella berkata beliau lebih mengutamakan persahabatan yang tulus dan tidak melihat keperluan untuk menjadikan populariti sebagai ukuran dalam memilih pengapit.
“Sejak bila pula bila kita bercakap tentang ‘BRIDESMAIDS’, semua dalam tu wajib yang popular atau artis?
Saya lebih memilih persahabatan yang tulen dan ikhlas,” katanya.
Menurut Bella, rakanrakannya dalam industri turut dihormati dan disayangi, namun masing-masing mempunyai kehidupan, pekerjaan, keluarga serta komitmen tersendiri.
Katanya, persahabatan yang ikhlas tidak semestinya perlu sentiasa dipamerkan menerusi media sosial untuk membuktikan hubungan tersebut masih terjalin.
“Pada usia sekarang, Bella rasa kita dah cukup matang untuk faham bahawa hubungan yang paling ikhlas tak semestinya paling terserlah,” katanya.
Bella turut berkongsi mengenai sahabat baiknya, Elyssa Murni Johari, yang dikenalinya sejak berusia lapan tahun dan kini menetap di Dubai.
Menurutnya, jarak serta kekerapan berkomunikasi bukanlah ukuran kekuatan sesebuah persahabatan kerana hubungan yang tulus tetap utuh meskipun jarang bertemu. “
Media sosial hanya menunjukkan sebahagian kecil kehidupan seseorang.
Tidak semua perkara yang bermakna perlu dikongsi kepada umum dan tidak semua persahabatan memerlukan pengiktirafan secara terbuka,” katanya.
Dalam hantaran sama, Bella turut merakamkan penghargaan kepada sembilan sahabatnya, iaitu Balqish, Affa, Chut, Biha, Tya, Syamim, Adik, Kak Emma dan Kak Yayang, yang disifatkannya sebagai sahabat yang baik, positif serta sentiasa menjaga persahabatan.
Bella turut mengakui masih ramai sahabat lain yang sentiasa berada di hatinya, termasuk mereka yang pernah membantunya ketika melalui waktu sukar.
Katanya, persahabatan yang paling kukuh ialah hubungan yang kekal terjalin dengan ikhlas tanpa memerlukan pengesahan atau perhatian daripada orang lain. “
Kadang-kadang, persahabatan yang paling kuat ialah persahabatan yang terjalin secara sederhana tanpa memerlukan pengesahan daripada orang lain,” katanya.






