KUCHING: Pertandingan Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) perlu diperluas ke lebih banyak kemudahan awam bagi membudayakan amalan kebersihan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, penyertaan pertandingan itu boleh diperluas ke kawasan rekreasi, inap desa, kampung dan rumah ibadat yang sering dikunjungi orang ramai.
“Lokasi berkenaan sering dikunjungi orang awam dan sewajarnya menyediakan kemudahan yang bersih, selamat serta selesa kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Tandas Awam BMW 2026 serta sesi dialog bersama ahli majlis dan ketua masyarakat Majlis Daerah Siburan (MDS) di Pusat Komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Serian di sini, hari ini.
Sagah menegaskan, amalan kebersihan tidak hanya ketika pertandingan berlangsung, sebaliknya dijadikan budaya dan rutin harian.
Katanya, tanggungjawab menjaga kebersihan bukan terletak pada pihak berkuasa tempatan (PBT) semata-mata, malah memerlukan kerjasama pemilik premis, pengusaha perniagaan, pengguna kemudahan awam dan masyarakat.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan kepada pembangunan seimbang yang bukan sahaja merangkumi infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi, malah aspek kesihatan awam, kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat.
Beliau berharap pertandingan itu dapat menggalakkan lebih ramai penduduk memainkan peranan dalam memastikan persekitaran di seluruh kawasan Siburan sentiasa bersih, selamat dan selesa.
Sementara itu, Sagah berkata pertandingan berkenaan menerima penyertaan daripada 10 premis di daerah Siburan, namun berharap jumlah itu meningkat pada edisi akan datang. — NURA VALENTIANA LORNA





