DARO: Pembukaan Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer hari ini menamatkan perkhidmatan feri di kawasan berkenaan yang telah beroperasi sejak 2009.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kemudahan infrastruktur itu bakal membawa perubahan besar kepada penduduk setempat, khususnya dari segi perhubungan dan aktiviti ekonomi.
Menurutnya, jambatan berkenaan merupakan sebahagian daripada rangkaian Jalan Pesisir Sarawak di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang menghubungkan Sarikei, Pulau Bruit, Daro, Matu, Igan dan Mukah.
“Jaringan ini turut memperkukuh akses perjalanan ke Sibu dan Kuching, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk antara kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Prapelancaran Jambatan Batang Paloh yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini.
Katanya, kemudahan itu bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah membantu melancarkan aktiviti perniagaan serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pelaksanaan projek berkenaan.
Pembangunan infrastruktur itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam meningkatkan kemudahan perhubungan dan kesejahteraan rakyat.






