ARTIKEL

TIDAK LEPAS PELUANG… Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR), Jerry Yong (dua dari kiri) bersama tetamu kehormat lain merakam gambar kenangan selepas menaiki belon udara panas.

Belon udara panas jadi tarikan baharu di Serian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SERIAN: Keterujaan jelas terpancar pada wajah orang ramai yang mengunjungi Borneo Empurau Farm & Resort (BEFR) sempena program Borneo Christmas Wonderland & New Year 2025 Countdown apabila mereka berpeluang merasai pengalaman menaiki belon udara panas.

Program berkenaan akan berlangsung dari 24 Disember hingga 4 Januari 2026, dengan penyediaan belon udara panas hasil usaha penganjur, OTN & EVP, bagi menampilkan kelainan kepada pengunjung pusat pelancongan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif BEFR, Jerry Yong, berkata inisiatif khas itu bertujuan memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman sebenar menaiki belon udara panas.

“Kesempatan menaiki belon udara panas ini diadakan selama dua hari, iaitu pada 24 dan 25 Disember. Ia merupakan inisiatif jawatankuasa penganjur, OTN & EVP, selain usaha memberikan kepuasan berganda kepada para pengunjung,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak selepas pra-perasmian belon udara panas di BEFR, malam tadi.

Beliau percaya kehadiran belon udara panas di kawasan tersebut mampu mencetuskan keterujaan luar biasa, khususnya bagi pengunjung yang ingin menikmati pemandangan persekitaran dari sudut berbeza.

MOMEN TERINDAH… Pemandangan belon udara panas yang terapung di udara.

“Apa yang pasti, pengunjung juga berpeluang merakam gambar dari pandangan atas,” tambahnya.

Menurut Jerry, lebih 200 individu telah mendaftar untuk menaiki belon udara panas berkenaan yang berupaya menampung berat keseluruhan sehingga 220 kilogram.

“Bergantung kepada saiz badan, belon ini boleh memuatkan dua hingga empat orang dalam satu-satu masa, dengan tempoh penerbangan sekitar lima hingga tujuh minit,” jelasnya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi BEFR, Datuk Dr Yong Fook Heng bersama isteri, Datin Alice Thoo.

Jerry turut memaklumkan harga tiket ditetapkan pada RM99 bagi kanak-kanak dan RM188 bagi dewasa, dengan sesi penerbangan dijadualkan dari 7.00 hingga 10.00 pagi serta 7.00 hingga 10.00 malam sepanjang dua hari penganjuran.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati pengalaman perkhemahan bermalam di lokasi berkenaan yang menawarkan pemandangan pengembaraan udara yang unik.

“Perkhidmatan fotografi profesional turut disediakan bagi merakam pengalaman istimewa pengunjung.

“Bagi pasangan yang meraikan detik bermakna, suasana ini pastinya mewujudkan pengalaman yang indah,” katanya.

Beliau berkata, penyediaan belon udara panas di BEFR pada tarikh berkenaan merupakan projek percubaan.

“Sekiranya sambutan menggalakkan, kita akan meneruskannya pada tahun hadapan,” katanya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU