ARTIKEL

Gambar Hiasan

Benar akaun syarikat diguna, lelaki didenda RM10,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM10,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana membenarkan akaun syarikatnya digunakan untuk aktiviti penipuan dalam talian selepas menerima wang berjumlah RM38,000.

Yeap Quah Chia Yong, 30, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan.

Yeap didakwa secara tidak langsung menerima transaksi wang berjumlah RM38,000 ke dalam akaun syarikat miliknya tanpa tujuan yang sah daripada sebuah bank di MJC, Batu Kawa, pada 3 Februari 2025.

Wang berkenaan berasal daripada seorang pengadu berusia 54 tahun sebelum dipindahkan ke akaun bank milik sebuah syarikat teknologi.

Berdasarkan fakta kes, pengadu dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai “Julie” pada 27 Disember 2024.

Wanita itu didakwa menawarkan peluang perniagaan kepada pengadu melalui aplikasi JBSSCM.com dengan mendakwa pengadu boleh memperoleh keuntungan menerusi pembelian dan penjualan barangan secara dalam talian.

Percaya dengan tawaran berkenaan, pengadu kemudian membuat beberapa pindahan wang dan deposit tunai ke dalam akaun bank yang diberikan wanita itu antara 2 Januari hingga 3 Februari 2025.

Pengadu kemudian didapati mengalami kerugian sebenar berjumlah RM292,000.

Semakan penyata bank mendapati pada 3 Februari 2025, pengadu membuat tiga pindahan wang berjumlah RM38,000 ke akaun bank milik syarikat teknologi berkenaan.

Siasatan mendapati akaun itu dikawal Yeap yang mengaku dalam keterangannya bahawa dia merupakan pemegang akaun tersebut.

Yeap turut mengaku memberikan butiran akaun banknya kepada seorang lelaki yang dikenali sebagai “Sam” melalui Facebook Messenger bagi tujuan perniagaan terbabit.

Dengan membenarkan pihak ketiga menggunakan akaunnya, Yeap telah membolehkan wang yang diperoleh daripada mangsa penipuan dikreditkan ke dalam akaun tersebut.

Wang RM38,000 yang diterima itu didapati sebahagian daripada wang yang diperoleh daripada mangsa menerusi penipuan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU