ARTIKEL

Sekitar rakaman ketika Bengkel Open University Malaysia (OUM)–Korean National Open University (KNOU) mengenai kecerdasan buatan (AI) generatif dan kepentingan keselamatan data di Pusat Pembelajaran OUM di sini.

Bengkel AI generatif OUM-KNOU tekan keselamatan data

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) generatif dan kepentingan keselamatan data menjadi tumpuan Bengkel Open University Malaysia (OUM)–Korean National Open University (KNOU) yang menghimpunkan 45 tutor dan pelajar OUM.

OUM menerusi kenyataan berkata, bengkel yang berlangsung di Pusat Pembelajaran OUM di sini itu turut memberi pendedahan praktikal kepada peserta mengenai perkembangan terkini dalam bidang AI generatif, teknologi sumber terbuka, aplikasi AI tempatan, keselamatan maklumat dan etika data.

Katanya, bengkel tersebut dirangka agar mudah diikuti peserta tanpa mengira latar belakang teknologi maklumat, dengan konsep AI diperkenalkan melalui penerangan yang jelas, demonstrasi praktikal dan aktiviti amali.

“Program ini juga bertujuan meningkatkan pemahaman peserta mengenai teknologi AI semasa serta menggalakkan penggunaannya secara bertanggungjawab dan beretika dalam konteks akademik, profesional dan kehidupan seharian,” katanya.

Tambahnya, bengkel tersebut juga merangkumi empat bidang utama, iaitu AI Generatif dan Model Bahasa Besar (Large Language Models, LLMs), Ekosistem Sumber Terbuka, AI Tempatan menggunakan Ollama serta Keselamatan Maklumat dan Etika Data.

Menurutnya, sesi bengkel telah dikendalikan oleh dua ahli akademik OUM, iaitu Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Dr Norfardilawati Musa serta Pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Gunaan, Ts Mohd Tajuzzaman Hassanor.

Dalam pada itu, OUM memaklumkan, bengkel itu turut menekankan kepentingan menggunakan AI secara bertanggungjawab, khususnya berkaitan perlindungan data, privasi dan pembuatan keputusan beretika.

“Program ini seterusnya memperkukuh kerjasama antara OUM dengan KNOU di bawah kerangka UNESCO-UNITWIN, yang menggalakkan kerjasama antarabangsa, pertukaran pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam pendidikan tinggi.

“Inisiatif ini secara tidak langsung menyokong aspirasi negara untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang bersedia mendepani era ekonomi digital,” ujarnya.

Selain itu, OUM menjelaskan, pendedahan praktikal kepada AI dan keselamatan data dalam kalangan pelajar tempatan bukan sahaja membantu merapatkan jurang kemahiran digital di Malaysia, malah memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam menjalin kerjasama antarabangsa.

Terdahulu, OUM memberitahu latihan tersebut dibiayai oleh Kementerian Pendidikan Korea dan disokong oleh KNOU selaku institusi hos UNITWIN dengan kerjasama OUM sebagai sebahagian daripada Projek UNESCO-UNITWIN 2026.

Inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan OUM dan KNOU untuk memperkukuh kerjasama akademik antarabangsa, perkongsian ilmu dan pembangunan kapasiti digital dalam pendidikan tinggi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU