ARTIKEL

Gambar kenangan bersama-sama tetamu dan jurulatih jemputan serta para peserta bengkel.

Bengkel Asas Alat Muzik Gendang Pampat: Perluas pelibatan OKU dalam bidang seni budaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 15 peserta menyertai Bengkel Asas Alat Muzik Gendang Pampat yang bukan sahaja memperkukuh identiti budaya komuniti pekak, malah mengasah minat dan bakat seni mereka.

Pengerusi Persatuan Seni dan Budaya Pekak Sarawak (SwDAC) Abdul Shafig Saperi berkata bengkel yang berlansung selama dua hari pada 16 dan 17 Ogos di pusat beli-belah Sarawak Plaza tersebut bertujuan untuk memperkenalkan alat muzik tradisional Iban tersebut kepada komuniti pekak.

Simbolik perasmian dan penyampaian cenderahati daripada SwDAC kepada Norsyahrul.

“Bengkel ini bukan sahaja memberi pendedahan terhadap warisan budaya, tetapi juga dapat meningkatkan keyakinan mereka dalam bidang muzik tradisi,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Beliau yang juga pengarah program berkata, bengkel tersebut disertai oleh 15 peserta yang terdiri daripada sembilan individu pekak, seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) fizikal, dua OKU pembelajaran (autisme dan ‘slow learner’) serta tiga kanak-kanak.

Latihan asas bermain gendang pampat.

“Sepanjang bengkel, tenaga pengajar mendedahkan peserta dengan sejarah dan asal usul gendang pampat, teori muzik, pengenalan melodi serta sesi latihan praktikal.

“Tenaga pengajar ini terdiri daripada guru berpengalaman dalam seni muzik tradisi iaitu Elizabeth Bungan Peter, Victoria Jimy dan Lydiana Lynmentan.

Latihan asas bermain gendang pampat.

“Khidmat jurubahasa Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), Sherlynna Parveen turut disediakan sepanjang bengkel bagi memastikan penyampaian ilmu dapat difahami secara inklusif,” jelasnya.

Tambahnya, majlis penutupan bengkel turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Norsyahrul Syafsaidatina Ismail, yang menyatakan penghargaan ke atas usaha SwDAC memperluas pelibatan komuniti kurang upaya dalam bidang seni budaya.

Sesi pengajaran oleh jurulatih jemputan dan dibantu oleh jurubahasa BIM.

“Sambutan positif daripada para peserta membuktikan bahawa seni dan budaya tradisi mampu menjadi medium penyatuan serta pembangunan potensi diri tanpa mengira keupayaan,” tambahnya.

Sementara itu, Abdul Shafig merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya JKKN Sarawak.

Beliau turut menjelaskan bahawa sejak ditubuhkan pada tahun 2022, SwDAC menumpukan usaha kepada pembangunan bakat komuniti pekak dalam pelbagai bidang seni, khususnya tarian dan muzik.

“Melalui aktiviti seperti ini, SwDAC menjadi wadah untuk mengetengahkan kreativiti serta memperkukuh identiti budaya komuniti pekak,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU