KUCHING: Bengkel Kebolehpasaran Graduan dan Kesiapsiagaan Industri menjadi platform untuk memahami keperluan industri dengan lebih mendalam agar graduan bersedia menyumbang secara bermakna kepada tenaga kerja.
Naib Canselor Universiti Kolej i-CATS (i-CATS UC), Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, berkata bengkel ini bukan sekadar dialog, tetapi usaha bersama untuk membentuk rangka kerja yang merapatkan jurang antara akademia dan industri.
“Walaupun universiti berusaha membekalkan kemahiran yang relevan, evolusi pesat industri sering mewujudkan jurang.
“Majikan menekankan isu ketidakpadanan kompetensi, dan universiti kadangkala beroperasi secara berasingan tanpa mekanisme berpusat untuk penempatan industri.
“Justeru, bengkel ini bertujuan membina kepercayaan, mencipta penyelesaian, dan menetapkan tindakan yang jelas agar kita dapat maju bersama,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Kebolehpasaran Graduan dan Kesiapsiagaan Industri di sini, hari ini.
Menurutnya, bengkel yang bertemakan Membina Bakat Sedia Industri: Rangka Kerja Kolaboratif untuk Masa Depan Sarawak menekankan persediaan graduan menghadapi dunia pekerjaan dengan menggabungkan usaha tiga tonggak utama iaitu industri, kerajaan, dan universiti.
“Industri boleh berkongsi pandangan tentang kemahiran dan trend yang sedang berkembang, kerajaan pula merangka dasar, manakala universiti melahirkan bakat lengkap dengan ilmu, nilai, serta kemahiran praktikal.
“Apabila ketiga-tiga tonggak ini kukuh dan bersatu, kita bukan sahaja akan menghasilkan graduan yang boleh diambil bekerja, tetapi juga generasi rakyat Sarawak yang berdaya tahan, inovatif, dan mudah menyesuaikan diri,” jelasnya.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 50 industri dan agensi menyertai bengkel tersebut, yang mencerminkan kesungguhan dan keprihatinan para majikan terhadap program yang ditawarkan oleh universiti milik Sarawak.
Jelasnya, usaha ini selari dengan aspirasi i-CATS UC sebagai institusi tempatan Sarawak yang sedang memperluas penawaran akademik.
“Ini merangkumi bidang kejuruteraan, perniagaan, hospitaliti, pelancongan, pendidikan awal kanak-kanak, kejuruteraan perisian, teknologi elektrik dan elektronik, serta kejuruteraan aeroangkasa,” tambahnya.
Katanya, i-CATS UC komited untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan modal insan, dengan visi diiktiraf sebagai universiti berstatus teknikal bagi Sarawak dan Borneo.
“Pengiktirafan ini akan meletakkan i-CATS UC sebagai penyumbang utama dalam pendidikan teknikal dan profesional, memastikan rantau ini memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan untuk melaksanakan agenda transformasi di bawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PPCDS) 2030,” tambahnya.



