TINGKAH laku, cara berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah serta perspektif generasi kini sedikit sebanyak dipengaruhi oleh dunia tanpa sempadan.
Isu semasa kini juga memperlihatkan banyak kes di luar nalar yang melibatkan generasi muda atau golongan pelajar.
Komen ini mungkin datang daripada golongan generasi X dan generasi Y yang menilai kes semasa
. Namun, dari sudut pandang lain, penularan isu ini juga disebabkan oleh faktor dunia tanpa sempadan yang menjadikan isu semasa mudah dikongsi dan diakses.
Ini bermaksud kes tular hari ini mungkin juga berlaku dahulu, cuma tidak terdedah.
Mungkin.
Menyentuh soal perkembangan sosial, teori popular sering dikaitkan dengan aspek kognitif atau pembelajaran awal kanakkanak melalui pemahaman terhadap interaksi di sekeliling.
Memandangkan ibu bapa ialah individu yang paling dekat dengan anak, maka dikatakan anak akan cenderung meniru tingkah laku ibu bapa. Wujud juga peribahasa seperti ‘bapa borek, anaknya rintik’ dan ‘bagaimana acuan, begitulah kuihnya’.
Pun begitu, hal ini mendapat kritikan memandangkan tingkah laku lebih merupakan pilihan dan cara berfikir individu.
Jadi, selain teori kognitif, teori yang boleh digunakan ialah teori konstruktivisme yang lebih dikenali sebagai proses pembelajaran melalui interaksi dengan persekitaran.
Pernahkah anda berfikir dari mana datangnya asas adat, peraturan, undang-undang dan perlembagaan itu?
Siapakah yang menentukan sesuatu perkara itu sebagai satu kesalahan atau kebiasaan dalam sesebuah masyarakat?
Malah, kebiasaan sesuatu perkara itu mungkin berbezabeza mengikut negara.
Contoh umum termasuk larangan terhadap gula-gula getah di Singapura dan larangan memijak wang kertas di Thailand.
Inilah yang dinamakan kontrak sosial, iaitu perjanjian tidak rasmi dalam sesebuah kawasan atau negara bagi menentukan sesuatu perkara.
Kontrak sosial pada asalnya bertujuan mewujudkan keteraturan dalam masyarakat.
Kontrak sosial bagi negara kita lahir daripada semangat muhibah dan kesedaran masyarakat pelbagai kaum.
Pada asasnya, kontrak sosial dilaksanakan secara tersurat dan tersirat bagi mengawal tingkah laku individu serta organisasi dalam konteks tertentu seperti tempat kerja, budaya, negara atau laman media sosial.
Menurut Jean-Jacques Rousseau, konsep kontrak sosial di barat timbul daripada persoalan politik yang berkaitan dengan kebebasan semula jadi rakyat, iaitu perjuangan rakyat menentang kuasa kerajaan bagi mengekalkan kebebasan mereka melalui sistem sosial.
Dari sudut pandang lain, kontrak sosial juga boleh digunakan oleh kerajaan untuk mendisiplinkan atau mengawal rakyat.
Justeru, situasi ini membuat saya terfikir tentang bagaimana sesuatu perkara yang pada asalnya sudah wujud dan menjadi kebiasaan dalam sesebuah masyarakat akhirnya dianggap sebagai sesuatu yang salah atau sebaliknya.
KESALAHAN
Contohnya dapat dilihat dalam filem Doctor Strange in the Multiverse of Madness, apabila watak America Chavez membawa Doctor Strange merentasi pelbagai dimensi yang mempunyai peraturan berbeza seperti lampu merah menandakan isyarat berjalan dan makanan tidak perlu dibayar.
Dalam realiti semasa, siapakah yang menentukan bahawa lampu merah menjadi isyarat untuk berhenti?
Mengapa bukan hijau atau biru?
Siapakah yang menentukan bahawa kencing di tepi jalan merupakan satu kesalahan?
Siapakah yang menentukan bahawa meninggikan suara terhadap orang tua dianggap sebagai perbuatan biadab?
Hal ini merupakan proses pembudayaan semula jadi yang menjadikan perbuatan tersebut dianggap salah di sesetengah tempat.
Perbuatan tersebut telah menjadi sebahagian daripada pembudayaan masyarakat sejak dahulu lagi
. Ia tertanam dalam minda masyarakat tanpa perlu diajar atau didedahkan.
Dalam konteks tingkah laku dan cara berfikir generasi kini, tidak mustahil golongan ini belajar melalui interaksi persekitaran yang dipengaruhi oleh kandungan negatif di Internet.
Sebagai contoh, terdapat kandungan video kanak-kanak di media sosial yang diselitkan dengan unsur lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Apabila pendedahan tersebut berlaku pada peringkat awal, perkara itu seolah-olah dianggap sebagai kebiasaan.
Fokus terhadap kandungan kanak-kanak menjadikan generasi Z sebagai kumpulan sasaran utama.
Itu hanya contoh berkaitan LGBT, bagaimana pula dengan unsur lain seperti keganasan dan kegiatan samseng?
Malah, terdapat kandungan yang memaparkan perbuatan menamatkan nyawa sendiri sama ada dalam animasi, filem ataupun drama.
Memandangkan unsur tersebut disebarkan secara bebas di Internet, maka ia mudah meresap dalam pemahaman audiens sekali gus mempengaruhi cara berfikir mereka.
Justeru, ibu bapa pada masa kini diseru supaya memantau penggunaan telefon pintar anak-anak agar mereka tidak terdedah kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyebarkan agenda tersendiri.
Telefon pintar juga dilengkapi dengan mod kanakkanak bagi menapis video yang tidak sesuai ditonton pada peringkat umur tersebut.
Jangan biarkan kandungan negatif tersebut berjaya ‘mencuci otak’ anak-anak anda dengan perkara yang jelas bertentangan dengan norma masyarakat dan nilai kemanusiaan .



