Berbeza agama tinggal sebumbung

MUKAH: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyifatkan masyarakat di kawasan Mukah dan Dalat antara contoh terbaik bagi perpaduan kaum dan agama di Sarawak.

“Melalui pengalaman berkhidmat di kawasan ini sebelum ini, saya melihat masyarakat di sini menjadikan perpaduan sebagai norma baharu kehidupan sejak dahulu lagi,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Taman Solidariti di Pekan Dalat, semalam.

Beliau berkata, walaupun berbeza agama atau kaum, terdapat masyarakat yang dapat tinggal sebumbung tanpa sebarang masalah.

“Saya dapat lihat pada musim perayaan. Saya sering dijemput meraikan Hari Raya dan Krismas yang diraikan di kawasan yang sama. Kita tahu perpaduan dalam keluarga di kampung ini akan berkekalan hingga kini.

“Gaya hidup ini telah menjadi amalan seharian dan bukan amalan yang dilihat kepura-puraan oleh setiap komuniti,” tambahnya.

Awang Tengah berkata, keadaan itu mewujudkan kestabilan politik di Sarawak dan membantu usaha kerajaan membangunkan negeri dengan sebaik-baiknya.

Kerajaan Sarawak jelasnya, akan terus komited membangunkan kawasan luar bandar mengikut acuan tersendiri khasnya melalui keutuhan perpaduan yang wujud kini.

Mengenai permohonan Adun Dalat Datuk Seri Fatimah Abdullah untuk mewujudkan Pusat Sehenti Kenderaan (OSCV) di Dalat, beliau memberitahu akan memasukkan permohonan itu ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 pada tahun depan.

Selain itu, beliau berharap melalui usaha Craun Research Sdn Bhd untuk projek biogas melalui hasil buangan sisa sagu di Mukah dapat dijayakan.

“Ia diharapkan dapat membantu membangunkan industri sagu di Mukah dan Dalat selaras dengan usaha untuk menubuhkan Lembaga Pembangunan Industri Rumbia Sarawak,” tambahnya lagi.

Dalam majlis itu, Awang Tengah turut menyampaikan 98 cek pampasan tanah bagi Projek Jalan Kampung Medong, Leberasau, Kampung Klid kepada 83 penerima dengan jumlah pampasan sebanyak RM813,139.45.

Seterusnya penyerahan surat hak milik Tanah Seksyen 13 Kanun Tanah Negeri di Ulu Sungau Apang Dalat bagi 71 lot kepada 56 penduduk, selain penyerahan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi Skim Penempatan Semula (SPS) Dalat Fasa II kepada 34 penduduk.

Suara Sarawak