Berbeza dari semalam

SIBU: Keadaan orang ramai di Bank Simpanan Nasional (BSN), Jalan Kampung Nyabor di sini terkawal kerana orang ramai mula sedar bahawa baucar Bantuan Prihatin Nasional (BPN) boleh ditunai hingga 31 Disember ini.

Berbeza pada Sabtu, keadaan amat membimbangkan dengan kehadiran melebihi daripada 300 orang beratur panjang hingga melebihi 100 meter disebabkan menerima maklumat dari laman sosial bahawa baucar BPN hanya boleh ditunaikan dalam masa dua hari sahaja.

Namun tinjauan semalam pula mendapati keadaannya berkurangan berbanding semalam.

Kehadiran orang ramai dianggarkan melebihi 100 orang sahaja untuk menunaikan baucar tersebut.

Turut berada di lokasi bagi memantau keadaan ialah Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit bersama-sama timbalannya Supritenden Collin Babat.

Stanley ketika ditemui pemberita memberitahu, seramai lapan pegawainya akan ditempatkan di BSN, Jalan Kampung Nyabor dan enam anggotanya yang lain akan ditempatkan di BSN Sibu Jaya bagi mengawal kesesakan orang ramai.

Katanya, ini bagi memastikan kelancaran proses BPN dan mengawal keadaan orang ramai dari terus bersesak di bank tersebut.

“Kalau boleh kita mahu mengurangkan jumlah kedatangan orang ramai ke bank kerana baucar BPN boleh ditunaikan sehingga hujung tahun ini.

“Kita turut menasihatkan mana yang tidak terdesak memerlukan bantuan supaya pulang dan datang pada hari lain,” tegasnya lagi.

Beliau berkata, pemantauan di BSN Sibu Jaya akan diketuai oleh Collin. Ditanya mengenai keadaan hari ini, Stanley meluahkan rasa puas hatinya dengan orang ramai yang mematuhi arahan daripada polis dan Rela.

“Kerjasama daripada orang ramai kepada petugas dan Rela amat baik. Apa yang penting penjarakan sosial diutamakan sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19.

“Kehadiran ramai tidak begitu membimbangkan walaupun hujung minggu kerana mereka sudah tahu baucar BPN ini mempunyai tempoh luput hingga hujung tahun,” tambahnya.

Sementara itu, sumber bank m emaklumkan kepada orang ramai melalui laman sesawang serta laman sosial berkenaan dan baucar BPN yang boleh ditunaikan di mana mana cawangan BSN sehingga 31 Disember ini.

“Kita ada membuka operasi pada hujung minggu ini tetapi minggu depan belum lagi dimaklumkan sama ada kami ada buka atau tidak.

“Kebanyakan yang datang hari ini adalah untuk menunaikan baucar BPN tetapi ada juga membuat urusan lain misalnya memohon kad mesin ATM, membuka akaun dan sebagainya.

“Kaunter kami tidak hanya menguruskan baucar BPN tetapi lain-lain perkhidmatan juga

“Namun kami tetap mengutamakan penjarakan sosial dan mengehadkan jumlah orang ramai masuk ke dalam bank secara bergilir-gilir,” katanya.

Suara Sarawak