ARTIKEL

Aaron-Wooi Yik menunjukkan aksi bertenaga dan bersahaja menundukkan pasangan Thailand.

Beregu Malaysia tepati ramalan, mara cemerlang ke separuh akhir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARAPAN Malaysia dalam acara badminton terus menyala di Universiti Thammasat apabila dua beregu utama negara — Pearly Tan-Thinaah Muralitharan serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik — mempamerkan aksi bertenaga untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya pada Jumaat (13 Disember).

Dalam aksi beregu wanita, Pearly-Thinaah tidak berdepan tentangan sengit apabila menundukkan gandingan Thailand, Benyapa Aimsaard-Sapsiree Taerattanachai, 21-11, 21-14.

Persembahan konsisten serta kawalan rentak yang kemas membuktikan pasangan itu masih menjadi antara gandingan paling digeruni di rantau ini.

Pearly-Thinaah meraikan kemenangan menumpaskan beregu Thailand.

Kemenangan tersebut turut mengukuhkan status mereka sebagai antara pencabar utama emas Sukan SEA dengan kedua-duanya dilihat semakin serasi dan matang dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, menepati reputasi apabila menewaskan gandingan Thailand, Supak Jomkoh-Kittinupong Kedren, 21-16, 21-16.

Aksi kemas di jaring serta serangan agresif Aaron-Wooi Yik menjadi pemisah antara kedua-dua pasangan sekali gus memastikan mereka kekal berada di landasan tepat untuk memburu pingat.

Beregu lelaki kedua negara, Man Wei Chong-Kai Wun Tee, turut mencatat kemenangan menewaskan gandingan Thailand, Peeratchai Sukhpun-Pakkapon Teeraratsakul, 21-16, 21-19.

Aksi beregu wanita kedua negara pula menyaksikan kekalahan apabila pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, menang 21-15 ke atas Go Pei Kee-Teoh Mei Xing.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain muda Sarawak, Wong Ling Ching, meneruskan prestasi positif apabila mencatat kemenangan 21-11, 21-17 ke atas pemain Indonesia, Hinda Amartya Pratiwi.

Rakan sepasukannya, Karupathevan Letshanaa, tewas 18-21, 13-21 kepada Puteri Kusuma Wardani dari Indonesia.

Dalam beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin terpaksa akur kepada pasangan tuan rumah, Dechapool Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, 12-21, 15-21.

Dalam acara perseorangan lelaki, Justin Hoh cemerlang menewaskan pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen, 21-15, 21-17.

Leong Jun Hao meneruskan rentak kemenangan apabila menumpaskan Panitchaphon Teeraratsakul, 21-18, 21-16 sekali gus menjadi penutup ceria buat kem Malaysia bagi saingan hari ini.

Malaysia kini berada pada laluan positif untuk memburu pingat di Bangkok.

BERITA LAIN

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan

BERITA TERBARU