SELEPAS kejayaan mengikat calon juara Piala Asia 2023, Korea Selatan 3-3 pada perlawanan terakhir Kumpulan E, skuad negara yang terkenal dengan jolokan Harimau Malaya mendapat pujian melambung daripada seluruh rakyat Malaysia.
Walaupun perlawanan dikuasai Korea Selatan, namun anak buah Kim Pan Gon memberi saingan sengit sehingga mampu mencatatkan keputusan seri.
Di sebalik kehebatan Harimau Malaya mengikat Korea Selatan, pujian perlu diberikan kepada penyokong ke-12 atau ekor Harimau Malaya tetap ‘mengaum’ walaupun anak buah Pan Gon tidak layak melangkah ke pusingan 16 terbaik.
Ada antara penyokong Harimau Malaya sanggup berkelana lebih 5,000 kilometer selain sanggup bergolok-gadai untuk menjadi sebahagian daripada momen bersejarah.
Ketika pasukan negara menjaringkan gol kedua, sekali gus mendahului skuad Taegeuk Warriors kendalian bekas bintang Jerman, Jurgen Klinsmann, lensa kamera yang merakam momen keceriaan penyokong bersorak di Stadium Al-Janoub Qatar tertangkap wajah seorang individu yang menangis kegembiraan.
Tangisan itu berjaya mencuri tumpuan kebanyakan rakyat Malaysia sehingga video itu tular dan ada netizen berjaya mengenal pasti lelaki tersebut sebagai Derrick Gan yang mengiklankan motosikalnya untuk dijual bagi menampung kos ke Qatar.
Dikhabarkan Derrick yang berusia 30 tahun memperoleh RM4,500 hasil jualan motosikal kesayangannya yang diiklankan di Facebook pada Disember tahun lepas.
Derrick yang merancang ke Qatar bagi menyaksikan perlawanan bersejarah buat Malaysia yang layak secara merit ke Piala Asia 2023 membuat keputusan melepaskan motosikal kesayangannya susulan simpanan sebanyak RM1,500 selama setahun masih tidak mencukupi.
Derrick yang berasal dari Bandar Hilir, Melaka berlepas ke Qatar pada 19 Januari untuk menyaksikan perlawanan kedua dan terakhir Kumpulan E.
Pengorbanan Derrick yang menjual motosikal kesayangannya mendapat perhatian daripada pemilik kedai menjual motosikal, Ahmad Alhafiz Najmi.
Ahmad Alhafiz bermurah hati menghadiahkan motosikal jenis Honda RS150 kepada Derrick yang sanggup menjual Yamaha LC135 miliknya.
Keputusan memberikan motosikal itu disebabkan semangat ditunjukkan Derrick yang sanggup menjual motosikal miliknya demi mencari dana ke Qatar bagi memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya pada Piala Asia 2023.
Selain itu, Derrick yang terkenal dengan jolokan abang rambut perang menerima durian runtuh selepas pemain negara, Faisal Halim menghadiahkan sebuah motosikal kepadanya.
Hasrat pemain sayap negara itu dikongsi oleh seorang pengguna di laman Instagram dikenali sebagai Danial Mazalan.
Individu tersebut mencari Derrick untuk menghadiahkan motosikal baharu selepas penyokong setia Harimau Malaya itu sanggup menjual motosikal miliknya.
Lebih manis lagi, Derrick disambut dengan sebuah motosikal baharu sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini. Motosikal jenis skuter model Karisma Modenas itu adalah hadiah daripada Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dengan kerjasama stesen radio Era.
Menerusi hantaran di laman Facebook stesen radio terbabit, skuter berkenaan dihadiahkan terus kepada Derrick sejurus tiba di KLIA.
Malah Derrick turut diberikan peluang untuk bercakap melalui panggilan video dengan penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi.
Sementara itu Derrick memaklumkan beliau menerima lebih 1,000 mesej di Facebook dan Instagram.
Setakat ini sebanyak lima motosikal daripada beberapa individu dan syarikat ditawarkan kepada Derrick.
Kisah Derrick sebenarnya mengajar kita mengenai keikhlasan dan semangat patriotisme tinggi yang perlu ada dalam diri.
Sebagai seorang lelaki, agak sukar untuk menitiskan air mata lebih-lebih lagi ketika menonton atau menyaksikan perlawanan bola sepak.
Reaksi spontan Derrick membuktikan kepada kita, perkara yang jarang berlaku lebih-lebih lagi apabila Harimau Malaya beraksi pada kejohanan tertinggi di Asia mampu membuatkan ramai lelaki menitiskan air mata gembira.
Selain itu, kesanggupan Derrick menjual motosikal miliknya menunjukkan betapa fanatiknya dia demi memberi sokongan padu kepada skuad negara.
Pada masa akan datang, kita berharap lebih ramai individu seperti Derrick muncul terutama ketika prestasi Harimau Malaya sedang meningkat di bawah Kim Pan Gon.
Setiap pasukan sebenarnya memerlukan sokongan padu penyokong yang bertindak sebagai pemain ke-12 walaupun di manamana sahaja mereka berada.
Kemampuan Harimau Malaya melakar keputusan seri menentang gergasi Asia, Korea Selatan turut disumbang sokongan ribuan penyokong di stadium dan rakyat Malaysia yang menonton menerusi skrin besar atau televisyen.
Sokongan padu ini sebenarnya meningkatkan motivasi pemain untuk mempamerkan aksi terbaik walaupun berhadapan dengan pemain bintang.
Tugas penyokong Harimau Malaya selepas ini adalah untuk memberi sokongan kepada skuad negara yang akan meneruskan aksi dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.
Dua kemenangan ke atas Kyrgyzstan dan Taiwan menyaksikan skuad bimbingan Kim Pan Gon mengungguli Kumpulan D dengan enam mata dan hanya enam mata lagi diperlukan daripada baki empat perlawanan seperti sasaran 12 mata minimum.
Namun perjuangan skuad kebangsaan untuk terbang ke bumi Amerika Utara masih jauh walaupun Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada menawarkan lapan slot automatik dan satu slot play-off antara benua untuk pasukan dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Jika mereka berjaya layak ke pusingan ketika, skuad kebangsaan secara automatik layak ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi.
Berdasarkan rekod, Malaysia tidak pernah melepasi pusingan ketika Kelayakan Piala Dunia sebelum ini.
Sebagai penyokong, sudah pasti kita mengharapkan anak buah Kim Pan Gon dapat melakar sejarah.



