Beri gambaran positif ekonomi Sarawak

Apabila Menteri Kewangan Lim Guan Eng begitu ghairah mendedahkan skandal pentadbiran kerajaan terdahulu pada fasa awal pemerintahan Pakatan Harapan (PH) Jun 2018, Ketua Umum PH ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menegur beliau.

Anwar menyarankan Guan Eng bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dengan tanggungjawab membongkar penyelewengan kerajaan terdahulu.

Guan Eng diminta berhati-hati mengeluarkan kenyataan kerana ia digunakan sebagai rujukan pelabur dan dapat menjejaskan keyakinan pelabur dalam pasaran modal Malaysia.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Dap sebelum itu mengumumkan kepada media, terdapat skandal besar lain membabitkan Kementerian Kewangan didedahkan ketika itu.

Namun, Guan Eng segera merespons bahawa beliau akan tetap mendedahkan perkara itu kepada umum sebelum menyerahkan skandal salah laku dan penyelewengan itu kepada menteri lain dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dilaporkan media berkata, semua pendedahan tersebut adalah atas arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dengar apa pula kata pemimpin de facto Dap Lim Kit Siang membela anaknya Guan Eng; bahawa tidak salah mendedahkan salah laku itu, malah beliau sudah melakukannya sejak 52 tahun lalu.

Katanya, walaupun pendedahan itu memberi implikasi positif dan negatif, beliau percaya salah laku perlu didedahkan kepada umum. Ketika itu, beberapa pihak mendakwa penurunan saham di Bursa Malaysia adalah sebagai akibat berkaitan tindakan Guan Eng mendedahkan butiran hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

Baru-baru ini datang ke Sarawak dan “berbangga” mengatakan Sarawak akan bankrap, Guan Eng tidak belajar daripada teguran Anwar 2018. Menteri Kewangan percaya sebuah negeri lain dalam Malaysia bankrap juga bererti memberi isyarat negatif dan tidak berfaedah kepada pelabur.

Hal ini sangat ironi pada masa yang sama paradoksnya disebabkan terlalu bersemangat, menteri kita cuba memberi gambaran negatif atas nama politik, padahal kebankrapan mikro yang dihadapi pihak yang satu pasti memberi impak makro kepada pihak yang satu lagi.

Di Facebook, admin Kelab Che Det mengutip: “Apabila Menteri Kewangan menyatakan bahawa negeri Sarawak akan bankrap. Saya faham perasaan orang Sarawak. Sebagai Pakatan Harapan, kita tak sepatutnya ‘bergaduh’ dengan kerajaan GPS Sarawak.

“GPS bukan parti pembangkang cuma parti bebas pro-Pakatan Harapan, sepatutnya kita sabagai kawan janganlah memburukkan kawan kita.

“Bukan sahaja memburukkan tapi ia tidak benar sama sekali. Kerajaan Sarawak menerima Sijil Audit Bersih Untuk Pengurusan Akaun Awam oleh Ketua Audit Negara selama 16 tahun berturut-turut, malah beberapa penarafan antarabangsa memberi rating tertinggi.

“Adakah Kerajaan Sarawak akan bankrap? Saya rasa tidak,” rumus kenyataan tersebut di media sosial.

Guan Eng mungkin merasakan diri beliau mempunyai tanggungjawab besar ke atas ekonomi negara, tetapi pada masa yang sama seharusnya mengambil kira kesan negatif daripada tindakan dan ucapannya yang sembrono.

Suara Sarawak