Dalam artikel pertama, kita menyentuh falsafah CELOTEH, iaitu kepentingan merendahkan aras pandangan ke paras tiga kaki atau 95 cm untuk memahami dunia kanak-kanak.
Namun, perbezaannya bukan sekadar pada ketinggian.
Sistem penglihatan dan saraf kanak-kanak turut memproses persekitaran secara berbeza daripada orang dewasa.
Sering kali kita mendengar, “Sudah dipesan berkali-kali, lihat kiri dan kanan sebelum melintas!”
Namun, adilkah kita meletakkan kesalahan sematamata pada “kecuaian” mereka?
Penglihatan kanak-kanak mengambil masa untuk matang sepenuhnya.
Keupayaan menukar fokus daripada objek dekat kepada objek jauh serta menganggarkan pergerakan kenderaan masih berkembang.
Medan penglihatan sisi mereka juga lebih terhad.
Ketinggian sekitar tiga kaki menambah risiko kerana mereka mudah terlindung daripada pandangan pemandu.
Kanak-kanak mungkin dapat melihat kenderaan, tetapi pemandu belum tentu dapat melihat mereka.
Melintas jalan memerlukan otak menggabungkan maklumat visual, bunyi, jarak dan kelajuan dalam tempoh yang singkat.
Mekanisme saraf untuk mengesan objek yang menghampiri pula terus berkembang sehingga dewasa.
Kajian turut menunjukkan kanak-kanak berusia tujuh dan lapan tahun lebih cenderung menggunakan jarak berbanding kelajuan ketika menentukan masa untuk melintas.
Kenderaan yang masih jauh mungkin dianggap selamat oleh kanak-kanak walaupun sebenarnya sedang bergerak pantas.
Atas dasar inilah, advokasi had laju 30 km/j di zon sekolah dan kawasan perumahan bukanlah sekadar angka rawak yang dipilih tanpa asas.
Kelajuan 30 km/j sebenarnya menyediakan dua talian hayat utama. Talian hayat pertama ialah ruang masa.
Kelajuan yang lebih rendah memberikan masa tambahan yang kritikal kepada otak kanak-kanak untuk memproses maklumat dan bertindak balas.
Kedua, sistem jalan raya yang mampu memberikan perlindungan apabila berlaku kesilapan.
Kita harus mengakui bahawa manusia, sama ada pemandu mahupun kanakkanak, tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Namun, pada kelajuan 30 km/j, jalan raya menjadi lebih “pemaaf”.
Jika berlaku perlanggaran, peluang seorang kanak-kanak untuk terus hidup adalah setinggi 90 peratus, berbanding kurang daripada 20 peratus jika kenderaan dipandu pada kelajuan 45 km/j.
Usaha ini bermula melalui Projek Zon Sekolah Selamat di bawah Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR).
Namun, pelaksanaan yang lebih menyeluruh memerlukan penyelarasan antara pelbagai kementerian dengan agensi berkaitan.
Dengan purata 67 nyawa kanak-kanak terkorban di zon sekolah setiap tahun, aspek keselamatan mereka tidak boleh terus ditangguhkan.
Melalui CELOTEH, suara kanak-kanak perlu diterjemahkan kepada persekitaran yang lebih selamat.
Jangan menghukum mereka kerana mata dan otak mereka belum matang.
Sebaliknya, bina jalan raya yang disesuaikan dengan keterbatasan mereka.
Pada kelajuan 30 km/j, kita memberi mereka peluang untuk membesar menjadi dewasa.

