KUCHING: Kerajaan Sarawak diminta agar mengenakan syarat khusus kepada pemohon berstatus bujang bagi menikmati kemudahan memiliki rumah kos rendah sendiri melalui program perumahan di bawah Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC).
ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, langkah ini dapat membantu mengurangkan isu jumlah isi satu rumah melebihi kemampuan.
“Antara usaha yang telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyatnya memiliki rumah kadar kos rendah adalah menerusi program rumah spektra permata (RSP).
“Program ini layak dimohon oleh individu yang sudah berumah tangga dengan pendapatan sebanyak RM2,500 sehingga RM6,000 dan memiliki tanah sendiri dengan keluasan minimum 750 hingga 850 kaki persegi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memohon agar Jabatan Tanah dan Survei meluluskan permohonan pemilikan tanah lot penduduk Kampung Triso yang telah lama tertunggak.
“Saya meminta agar permohonan ini diteliti dan diberi kelulusan dalam masa terdekat iaitu dalam tahun ini.
“Ini kerana mengikut laporan Jabatan Tanah dan Surveri Bahagian Betong, sebanyak 53 permohonan lot kediaman melalui skim pembesaran Kampung Triso Darat di tanah rizab kerajaan telah dilakukan sejak 28 Mei 2015.
“Isu ini sangat penting untuk diambil perhatian supaya status tapak kediaman penduduk Kampung Triso terjamin dan tidak diragui oleh mana-mana pihak,” tegas beliau lagi.






