ARTIKEL

Dennis Ngau

Beri sumbangan besar kepada penduduk luar bandar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberi sumbangan amat bermakna dalam meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata, ini dibuktikan dengan peningkatan infrastruktur serta sumber pendapatan di kawasan luar bandar, semasa pemerintahannya sebagai Ketua Menteri.

“Pembangunan luar bandar merupakan agenda besar Tun Taib, dan ia terbukti melalui kemajuan yang dicapai di kawasan luar bandar khususnya di kawasan Telang Usan.

“Inisiatif seperti pembinaan jalan raya yang dijalankan selepas aktiviti pembalakan terkawal memudahkan akses ke kampung di kawasan terpencil,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Dalam pada itu, beliau turut membidas kritikan yang dilemparkan terhadap Tun Taib khususnya mengenai peruntukan lesen kepada syarikat pembalakan.

“Walaupun ada yang menuduhnya mengeksploitasi sumber negeri namun manfaat yang diberikan kepada masyarakat luar bandar tidak dapat dinafikan.

“Pembalakan secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada pembangunan ekonomi dengan memberi peluang kepada rakyat untuk mencari rezeki termasuk peluang pekerjaan dalam industri pembalakan, perniagaan kecil dan pertanian,” jelasnya.

Selain itu katanya, beliau memuji penglibatan Tun Taib secara peribadi dengan masyarakat luar bandar.

“Hal ini dibuktikan apabila Allahyarham melakukan lawatan ke rumah panjang di sebuah kawasan terpencil.

“Selain itu, satu detik penting yang tidak dapat dilupakan adalah apabila Tun Taib memilih Telang Usan untuk kempen pertamanya selepas perkahwinan dengan Toh Puan Raghad Kurdi Taib, dan peristiwa itu sangat menyentuh hati saya dan masyarakat setempat,” katanya.

Pada masa sama katanya, beliau berasa gembira dengan apa yang dilakukan oleh Allahyarham untuk rakyat Sarawak yang kini diteruskan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Katanya, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang berkhidmat di Sarawak tanpa mengira populasi komuniti khususnya Orang Ulu.

Tambahnya lagi, Tun Taib tidak pernah mengabaikan rakyat, serta memastikan kesemua rakyat tidak ketinggalan dalam arus pemodenan termasuk komuniti Orang Ulu yang kebanyakannya tinggal sangat jauh di dalam hutan Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU