KUCHING: Pola jangkitan rabies di Sarawak kini bukan sahaja melibatkan haiwan liar dan terbiar malah turut membabitkan haiwan peliharaan yang berada di dalam kediaman penduduk.
Justeru, Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, menggesa orang ramai untuk lebih peka dan mengambil langkah yang lebih berwaspada terhadap ancaman tersebut.
“Corak rabies kini telah berubah, dan adalah penting untuk semua orang menyedari perubahan ini dengan menekankan sistem pemvaksinan untuk mencegah rabies dalam melindungi kedua-dua haiwan dan manusia.
“Jika anda mengalami calar atau gigitan haiwan, sila ambil tindakan segera dan kunjungi klinik gigitan dengan segera.
“Menerima vaksin rabies selepas gigitan haiwan boleh memastikan virus itu tidak sampai ke otak anda.
“Jika tidak dirawat, kemungkinan menghidap rabies adalah hampir 100 peratus, dengan kadar kematian 99 peratus.
“Ia boleh dicegah pada peringkat manusia dan haiwan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Rabies di Borneo (RIB) yang berlangsung di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Dr Sim berkata, kerjasama daripada masyarakat adalah penting demi memastikan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan rabies oleh pihak berkuasa dapat dilaksanakan secara lancar.
Tegasnya, Sarawak komited untuk memastikan misi bebas rabies menjelang tahun 2030 oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dapat dicapai.
“Jadi saya menyeru orang ramai untuk memainkan peranan masing-masing.
“Kita dapat lihat pada hari ini bahawa kesan gigitan dan cakaran kucing adalah lebih banyak berbanding menangkap anjing liar di luar.
“Kedua, hampir 70 peratus merupakan anjing peliharaan.
“Kita tidak lagi bercakap tentang anjing luar, tapi anjing peliharaan kita sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS), dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak, telah membangunkan aplikasi rabies.
Katanya, aplikasi itu membantu seseorang individu itu untuk melaporkan haiwan yang disyaki menghidap rabies.
“Kita mempunyai aplikasi yang tersedia, tetapi kini terpulang kepada orang ramai untuk memainkan peranan mereka dan menyumbang kepada inisiatif ini,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

