Berjuanglah untuk Sarawak, Andrew tegur Willie!

KUCHING: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin harus melihat kepada Pulau Pinang terlebih dahulu, sebelum mengkritik langkah Kerajaan Sarawak kononnya menyalah guna kuasa kerana membayar elaun RM300 sebulan kepada ahli majlis kerajaan tempatan.

Mengingatkan demikian, Timbalan Pengerusi Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Pusat, Andrew Victor Nub berkata ia kerana kerajaan Pulau Pinang membayar elaun ahli majlisnya jauh lebih besar daripada apa yang diberikan Kerajaan Sarawak kepada ahli majlisnya.

Katanya pada 2018, kerajaan Pulau Pinang melantik 48 ahli majlis Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dengan elaun sejumlah RM4,000 sebulan iaitu RM2,500 elaun bulanan, RM1,200 elaun mesyuarat dan RM300 elaun telefon.

“Ahli majlis Sarawak sebelum pelantikan ini tidak pernah menerima elaun bulanan tetapi cuma elaun mesyuarat sebanyak RM100 setiap mesyuarat.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Sarawak memberikan mereka RM300 sebulan ini untuk memenuhi tanggungjawab
mereka kepada orang ramai.

“Jika dibandingkan dengan Pulau Pinang, jumlah ini sama dengan elaun telefon,” katanya dalam kenyataan semalam.