SERIAN: Isu kecurian hasil tanaman kebun semakin berkurang di kawasan tanah sempadan Malaysia-Indonesia Mongkos, Serian, jelas Rosli Anyem, 56.
Anak jati Mongkos berusia 56 tahun itu mengakui hasil tanamannya sebelum kehadiran pengawasan pasukan PGA selalu dicuri terutama apabila musim kenaikan harga tani.
“Sebelum ini memang selalu susah hati untuk meninggalkan hasil tani, pada masa harga lada naik sehingga RM30 sekilo, pasti hasil lada kami dicuri.
“Sekarang apabila ada kawalan dilaksanakan oleh PGA di kawasan sempadan, sekurang-kurangnya kami tidak pergi ke sini (kebun) selama seminggu pun hasil tanaman kami tidak hilang, jadi kami tidak lagi risau tentang kecurian seperti dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ditemui Suara Sarawak ketika berada di kawasan kebunnya, tidak jauh dari tanah persempadanan Malaysia-Indonesia.
Bercerita tentang aktivitinya, Rosli mendedahkan beliau biasanya bersama-sama isteri meluangkan masa setiap hari untuk membersihkan kebun dan memastikan tanaman mereka terjaga daripada seranggga perosak.
Tambahnya, antara tanaman utama yang dihasilkan ialah menanam lada dan padi.
Katanya, kawasan tanah sempadan ternyata tidak jauh berbeza dengan kualiti tanah di kawasan yang lain.
Kebanyakan tanaman adalah untuk keperluan harian keluarga dan tidak dijual kecuali mendapat permintaan daripada pihak luar.
Ditanya tentang cabaran sepanjang menjadi petani di kawasan sempadan, beliau memberitahu tiada apa-apa kekangan melainkan mendapat keperluan asas seperti baja dan racun pertanian.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memohon agar pihak berkaitan seperti agensi pertanian tampil memberi bantuan yang lebih banyak termasuk keperluan baja dan racun khususnya kepada para petani yang berada di pedalaman.

