NOVELA bergenre seram ini merupakan buku ketiga saya selepas novel Citra Sainatra dan Siri Kembara Kembar: Rhizophora. Kedua-dua karya sebelum ini banyak memfokuskan kepada penggabungan elemen sains, alur kisah fantasi dan penceritaan fiksyen.
Buku bertajuk Siri Puaka Sekolah: Makmal Biologi ini diterbitkan oleh Penerbit X pada tahun ini dan merupakan salah satu buku dalam Siri Puaka Sekolah yang mengetengahkan kisah misteri dan seram dalam latar persekitaran sekolah.
Berbeza dengan karya sebelumnya, novela ini memberi suasana seram yang dekat dengan pengalaman pelajar, khususnya dalam ruang yang sering dikaitkan dengan pembelajaran sains iaitu makmal biologi.
Pemilihan latar ini bukan sahaja bertujuan menimbulkan aura seram, tetapi juga untuk menyelitkan konsep sains dan biologi secara kreatif dan berkesan.
Melalui gabungan unsur seram dan ilmu sains, karya ini diharapkan boleh memberi pengalaman pembacaan yang menghiburkan serta meningkatkan pengetahuan pembaca, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Sinopsis ringkas
Qistina kembali ke sekolah dan menyertai kelas bimbingan biologi di makmal biologi bersama-sama Natalia, Kwong dan Awang. Namun, sesi yang sepatutnya membantu mereka berubah menjadi mimpi ngeri apabila kejadian aneh mula berlaku di makmal.
Antaranya ialah kemunculan pelajar misteri, spesimen hidup kembali dan kerasukan yang mula menular.
Ketika makhluk ghaib semakin mengganas dan warga sekolah menjadi mangsa, mereka menyedari semuanya berkait dengan kehilangan tiga pelajar beberapa tahun lalu. Mampukah mereka merungkai misteri makmal biologi atau akan menjadi korban eksperimen terlarang?
Elemen STEM dalam cerita
Berdasarkan ungkapan membaca jambatan ilmu, aktiviti membaca sangat penting untuk setiap golongan masyarakat, terutamanya kalangan pelajar. Melalui pembacaan, para pelajar akan mendapat pelbagai pengetahuan dan pendedahan tentang sesuatu perkara.
Misalnya, mereka boleh membaca buku teks, nota pelajaran, surat khabar, majalah dan buku-buku fiksyen. Akan tetapi, terdapat beberapa subjek pelajaran yang kurang digemari oleh pelajar kerana mungkin sukar difahami atau membosankan. Antara subjek tersebut adalah sains, biologi, fizik dan kimia.
Hal ini yang menjadi cabaran besar bagi para pelajar untuk mempelajarinya dan guru untuk mengajar mereka.
Genre seram merupakan antara medium yang boleh digunakan untuk menarik minat para pelajar dalam menguasai sesuatu konsep sains. Kesannya, para pelajar akan mudah menghafal dan memahami topik sains tersebut di samping dihiburkan dengan cerita seram yang mendebarkan.
Selain bertujuan menyampaikan kisah seram, buku Siri Puaka Sekolah: Makmal Biologi turut memperkenalkan elemen STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) terutamanya dalam bidang biologi kepada pembaca.
Melalui watak utama, Qistina, pembaca mendapat pengetahuan tentang penyakit kanser yang bermula apabila sel dalam tubuh mengalami mutasi dan membentuk ketumbuhan (tumor) yang merosakkan tisu di sekeliling.
Akibat penyakit kanser ini, ibunya meninggal dunia. Kejadian ini bukan sahaja memberi sentuhan emosi kepada cerita, malah mendedahkan pembaca tentang asas bagaimana penyakit tersebut terjadi, sekali gus menjadikan sains lebih dekat dengan kehidupan seharian.
Seterusnya, kisah seram ini turut menerapkan konsep biologi iaitu tindak balas tumbuhan terhadap rangsangan (tropisme). Pembaca diperkenalkan dengan beberapa jenis tropisme seperti fototropisme, geotropisme, hidrotropisme dan tigmotropisme melalui alur cerita yang menarik.
Obsesi Cikgu Fred terhadap eksperimen berkenaan tropisme sehingga sanggup meminta bantuan makhluk ghaib untuk menyempurnakan kajiannya. Pendedahan ini menjadikan pembelajaran biologi lebih hidup, kendatipun diselitkan dengan elemen fiksyen seram yang menimbulkan debaran.
Bahan bacaan sekolah
Genre seram yang diangkat dalam buku ini disesuaikan dengan tahap pembaca sekolah agar tidak keterlaluan dan kekal dalam lingkungan yang sesuai untuk semua lapisan pelajar.
Elemen seram seperti kemunculan pelajar misteri, spesimen yang hidup kembali, dan kejadian kerasukan digarap secara terkawal dengan memberi fokus kepada pembinaan suasana, konflik dan misteri, bukannya unsur yang terlalu ekstrem atau menyeramkan.
Langkah ini membolehkan pembaca merasai debaran dan keterujaan tanpa mencetuskan ketakutan melampau yang boleh menjejaskan pengalaman membaca. Malah, unsur-unsur ini bertujuan sebagai daya tarikan untuk menarik minat pelajar terhadap pembacaan, terutamanya dalam kalangan mereka yang kurang cenderung kepada bahan ilmiah.
Selain itu, cerita yang disampaikan tidak berkait secara langsung dengan kejadian sebenar di sekolah, sekali gus menjadikannya selamat dan sesuai dijadikan sebagai bahan bacaan santai tanpa menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembaca.
Latar makmal biologi sekolah yang digunakan hanyalah sebagai medium untuk mendekatkan cerita dengan realiti kehidupan pelajar supaya mereka lebih mudah menghayati jalan cerita dan memahami pengajaran yang diselitkan. Tambahan pula, penerapan elemen STEM dalam kisah seram ini boleh merangsang minat pelajar terhadap subjek sains melalui cara penyampaian yang lebih kreatif dan menarik.
Pendekatan ini diharap dapat mengubah pandangan bahawa pembelajaran biologi adalah membosankan, sebaliknya mampu menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan penuh imaginasi.
Harapan penulis
Sebagai penulis, tujuan saya menulis buku ini untuk menghibur para pembaca dan turut berkongsi pengetahuan berkenaan biologi. Ketika berada di sekolah menengah, saya sangat menggemari subjek ini sehingga melanjutkan pengajian dalam jurusan biologi marin di peringkat sarjana muda.
Semua ini berkat dorongan guru biologi dahulu. Bagi saya, sesuatu ilmu itu bukan disukat daripada seberapa hebat diri kita, tetapi dilihat daripada bagaimana cara kita menyampaikan pengetahuan tersebut kepada masyarakat dengan pelbagai cara.
Pada masa sama, walaupun dibaluti dengan genre seram, inti pati kisah ini sarat dengan pengajaran seperti kepentingan persahabatan, kerjasama dan kesungguhan menuntut ilmu.
Sebagai contoh, Qistina dan rakan-rakannya menunjukkan bahawa dengan usaha dan sokongan antara satu sama lain, cabaran yang sukar sekalipun mampu diatasi bersama-sama.
Akhir sekali, saya sentiasa berharap agar karya yang menggabungkan elemen pendidikan dengan hiburan dalam penulisan kreatif ini mampu memberi manfaat kepada para pembaca.
Keinginan untuk terus menghasilkan karya yang mengangkat ilmu dalam bentuk yang lebih santai dan menarik menjadi antara aspirasi utama.
Diharapkan juga supaya peluang untuk menulis karya dalam genre sebegini akan terus terbuka pada masa hadapan, demi memupuk minat membaca dan mencintai ilmu dalam kalangan generasi muda.



