KOTA KINABALU: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) merangkul dua anugerah utama dan empat merit pada Kinabalu Press Award 2024 di sini semalam.
Ketua Biro BERNAMA Sabah, Fadzli Ramli, dan wartawan, Allahyarham Nur Adika Bujang, memenangi Anugerah Utama Laporan Berita (Bukan Rencana) Bahasa Melayu menerusi penulisan tentang guru besar yang tinggal dalam stor sekolah lebih tiga tahun demi pendidikan anak muridnya, sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,500 dan sijil.
Nur Adika meninggal dunia pada 17 Mac lepas di Sandakan.
Wartawan, Noorazlina Jindeh, pula meraih Anugerah Utama Kewartawanan Alam Sekitar Bahasa Melayu menerusi artikel tentang konflik manusia dan buaya di Sabah.
Beliau juga menerima wang tunai RM2,500 serta sijil.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, hadir untuk merasmikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah utama.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, serta Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar.
Selain itu, Fadzli dan Arthur Edward mendapat merit bagi Laporan Rencana dan Berita Rencana Bahasa Melayu menerusi penulisan berkaitan tuntutan kumpulan yang mendakwa diri sebagai waris Sultan Sulu.
Merit bagi Laporan Hiburan, Budaya dan Seni Bahasa Melayu diterima oleh Rohana Nasrah menerusi artikel tentang hiasan manik Jalur Gemilang.
Manakala itu, Merit bagi Laporan Perniagaan dan Ekonomi Bahasa Melayu diraih oleh Fadzli menerusi penulisan berkaitan harga beras Sabah yang lebih mahal berbanding Semenanjung.
Muqtadir Halim pula meraih Merit bagi Gambar Terbaik.
Kesemua pemenang merit masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil. – BERNAMA


