ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

Bernama, Xinhua membaharui perjanjian untuk tingkatkan pertukaran berita dan kandungan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Agensi Berita China Xinhua (Xinhua) akan memperbaharui Kerjasama dan Perjanjian Pertukaran Berita pada Isnin bagi meningkatkan lagi pertukaran kandungan dan berita merentasi pelbagai platform.

Kerjasama Bernama dan Xinhua dalam pertukaran berita bermula pada 14 Dis 1985 menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) di Kuala Lumpur.

Sejak itu, kerjasama antara kedua-dua agensi berita ini terus berkembang, menyediakan liputan seimbang dan adil mengenai berita antarabangsa tentang perkembangan yang berlaku bukan sahaja di Malaysia dan China bahkan di seluruh dunia.

Pembaharuan perjanjian antara Bernama dan Xinhua itu menandakan satu lagi kejayaan penting bagi kedua-dua pihak kerana ia akan membuka pintu untuk lebih banyak pertukaran kandungan berkualiti bagi memenuhi landskap media yang sentiasa berubah di era digitalisasi dan kecerdasan buatan.

Majlis menandatangani perjanjian akan berlangsung di ibu pejabat Bernama di Wisma Bernama.

Ketua Pengarang Bernama (yang juga menanggung tugas Ketua Pegawai Eksekutif) Nur-ul Afida Kamaludin dan Pengarah Biro Wilayah Asia-Pasifik Xinhua Wang Jinfu akan mewakili agensi berita masing-masing.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut dijangka hadir pada majlis itu.

Bernama yang menyediakan kandungan berita sejak penubuhannya pada tahun 1967 mengikut Akta Bernama, perkhidmatan agensi berita itu kini telah berkembang daripada sekadar perkhidmatan berita wayar dan gambar kepada kandungan penyiaran melalui Bernama TV dan Bernama Radio serta media digital.

Kehadiran Bernama di platform media sosial termasuk di Facebook, X, Instagram, TikTok, YouTube dan Threads juga semakin meluas dan kukuh.

Bernama kini menyalurkan berita melalui perkhidmatan wayar dalam enam bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Arab dan Sepanyol.

Xinhua, sebuah institusi peringkat kementerian yang ditubuhkan pada tahun 1931 merupakan organisasi media terbesar di China.

Secara puratanya, agensi berita itu mengeluarkan kira-kira 15,000 penerbitan media setiap hari dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Cina, Inggeris, Perancis, Sepanyol, Rusia, Arab, Jepun, Korea, Jerman, Portugal dan Bahasa Mongolia Cyrillic.

Xinhua mempunyai 181 biro di seluruh dunia dengan biro di Malaysia ketika ini diketuai oleh Mao Pengfei.

Pembaharuan perjanjian itu juga amat bermakna kerana ia bertepatan dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun depan. – BERNAMA

BERITA LAIN

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat

BERITA TERBARU