PAKAN: Pada hari pertama Bank Simpanan Nasional (BSN) membuka kaunter bergerak di sini, ia menerima kehadiran ratusan penduduk.
Walaupun cuaca panas, ia tidak menjadi halangan, malah sanggup berbaris menunggu giliran masing-masing.
Protem Pengerusi Persatuan Pembangunan Generasi Muda Baru (PNRM) Pakan Julau Jamal Abdulah @ Tedung Chakaw berkata, keputusan BSN membuka kaunter bergerak itu dapat meringankan beban penduduk yang selama ini mengalami masalah untuk berurusan terutamanya wang bantuan kerajaan.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana kemudahan ini memang ditunggu-tunggu oleh rakyat di sini.
Inilah kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah mereka.

“Selama ini mereka tiada cara lain apabila ingin melakukan urusan berkaitan dengan bank selain terpaksa pergi ke daerah lain,” katanya kepada pemberita,kelmarin.
Beliau berharap supaya bank berkenaan boleh membuka cawangan di pasar Pakan.
“Untuk jangka masa panjang, kita berharap Pakan akan mempunyai cawangan bank.
“Jika bukan BSN, bank lain juga boleh membuka cawangan di sini terutamanya Bank Agro kerana berkaitan urusan utama penduduk Pakan yang menjalankan kerja-kerja pertanian,” jelasnya.
Selain itu, Tedung juga mengharapkan kaedah yang sama boleh dilakukan di kawasan pesisir yang lain yang turut menghadapi masalah tiada bank atau ATM.
Sebelum ini, beliau pernah menghantar surat kepada pihak berkaitan meminta kawasan Pakan disediakan khidmat bank kerana masalah rakyat yang susah keluar ke pasar lain seperti Bintangor dan Sarikei akibat PKP.
Malah, pernah disuarakan dalam akhbar mengenai ratusan penduduk Pakan berbaris panjang meminta permit pelepasan keluar daerah untuk mengambil Bantuan Prihatin Nasional (BPN) ke Sarikei.
Kaunter BSN Bergerak Pakan tersebut dibuka kepada orang awam bermula pada kelmarin sehingga semalam (11 Mei) sahaja.


