Bersalin atas terminal

SARIKEI: Tindakan cekap anggota Bomba Sarikei yang bertindak pantas memotong kunci mangga menyelamatkan nyawa seorang wanita bersalin di Terminal II bot ekspres Jalan Whaft di sini, malam tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, wanita yang berusia 22 itu dikatakan dalam perjalanan dari Bukit Kinyau ke Hospital Sarikei dengan menaiki bot bersama suaminya untuk bersalin.

Ketua Balai Bomba Sarikei, Mahmudin Naruddin berkata, kesuntukan masa untuk melahirkan bayi mereka, pasangan suami isteri itu terpaksa singgah di Terminal II memandangkan lokasi itu lebih dekat berbanding Terminal Satu.

Mangsa yang selamat melahirkan bayinya dibawa ke Hospital Sarikei untuk rawatan susulan.

“Bagaimanapun, mereka berdepan detik cemas apabila pagar utama terminal terbabit berkunci namun, sempat bertindak menghubungi Bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Susulan itu, seramai lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 11.56 malam.

“Sebaik tiba di situ, kami bertindak memotong mangga pagar terminal untuk menyelamatkan wanita terbabit. Operasi itu dijalankan dalam tempoh seminit.

“Bagaimana pun, ketika itu dia sudah pun selamat melahirkan bayi lelaki di atas kerusi terminal berkenaan sambil ditemani oleh suaminya,” katanya kepada wartawan.

Beliau memberitahu, wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Sarikei untuk rawatan susulan oleh pasukan paramedik.