KUCHING: Rakyat Sarawak harus bersatu mempertahankan autonomi politik negeri ini daripada pengaruh anasir luar yang boleh menjejaskan kestabilan.
Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif, Datuk Seri Wong Soon Koh, berkata percaturan politik luar akan melemahkan Sarawak dalam usaha rundingan hak negeri, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta kawalan sumber minyak dan gas.
“Sarawak yang berpecah-belah akan melemahkan kedudukan kita, menjadikan kita lebih terdedah kepada tekanan luar.
“Hanya dengan berdiri teguh bersama, kita dapat memastikan masa depan yang lebih baik untuk Sarawak dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Soon Koh berkata dalam usaha ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, merupakan seorang pemimpin yang berwawasan, berani, cekal serta komited sepenuhnya terhadap kemajuan Sarawak.
“Beliau tanpa henti memperjuangkan kepentingan negeri kita. Kepimpinannya telah membawa pelbagai kejayaan besar, mengukuhkan ekonomi Sarawak serta mempertingkatkan kuasa autonomi kita,” katanya.
Beliau berkata Abang Johari telah mengenakan cukai jualan 5 peratus ke atas produk petroleum, memaksa Petronas untuk akur selepas pertarungan di mahkamah, sekali gus membolehkan Sarawak memperoleh hasil berbilion ringgit.
Tambahnya, Premier juga menguatkuasakan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang mewajibkan semua pengendali minyak dan gas mendapatkan kelulusan negeri.
“Pada 2021, Premier berjuang sehingga Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengiktiraf Sarawak dan Sabah sebagai rakan sekutu yang setara dengan Malaya dalam Malaysia.
“Artikel 1(2) dipinda bagi menegaskan semula status Sarawak sebagai wilayah, bukan sekadar salah satu daripada 13 negeri.
“Artikel 160(2) turut dipinda untuk mentakrifkan Persekutuan berdasarkan MA63 dan bukan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
“Kini, Premier sedang berusaha mendapatkan lebih banyak kuasa autonomi dalam perjanjian minyak dan gas. Beliau juga telah memulakan rundingan bagi mendapatkan kuasa autonomi dalam bidang kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan dasar alam sekitar selaras dengan semangat MA63. Secara keseluruhannya, beliau berusaha gigih untuk memperoleh lebih banyak devolusi dan desentralisasi kuasa mengikut MA63,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan menolak pengaruh politik luar yang boleh menjejaskan kestabilan negeri.



