Bersatu Sarawak: Fokus kepada agenda rakyat

KUCHING: Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sarawak, Jaziri Alkaf A.Suffian meminta semua pihak berhenti melakukan provokasi tentang peralihan kuasa melibatkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambah Jaziri, semua pihak PH diminta untuk melakukan agenda rakyat dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Lebih baik PH menumpukan perkhidmatan kepada memberi khidmat kepada rakyat yang kini terhimpit akibat kekangan ekonomi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Penerangan Bersatu Sarawak di Bintulu, baru-baru ini.

Pada perkembangan lain, Bersatu Sarawak kini bersiap sedia menghadapi PRN Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa dalam tahun ini.

“Bersatu Sarawak perlu memainkan peranan penting dalam mengetuai PH dalam menghadapi PRN Sarawak,” jelasnya.

Tambah Jaziri, Bersatu Sarawak mahu menyahut cabaran tersebut kerana sudah ada keperluan daripada pengundi akar umbi mahukan Bersatu sebagai tunjang utama dalam PRN nanti.

“Kita melihat dan menilai potensi dan kekuatan parti dengan meletakkan calon berkaliber serta kemampuan untuk menang bersama-sama komponen lain dalam PH,” katanya.

Menurut Jaziri, Bersatu Sarawak akan mengemukakan calon sesuai kepada Dr. Mahathir dan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Suara Sarawak