Bersatu teguh bercerai roboh

MUKAH: Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh dan hak sepatutnya menjadi milik kita memang akan menjadi milik kita, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniiti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak.

Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, apabila rakyat Sarawak sudah tahu mengenai fakta sejarah sebenar maka dapat tahu kedudukan selain bidang kuasa di bawah Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.

“Forum Pembentukan Malaysia, Mengingatkan Semula MA63 merupakan satu peluang kepada untuk mendengar fakta yang jarang diketahui terutama buku sejarah dan subjek mengenai sejarah.

“Perkara ini sangat penting untuk semua berkongsi ilmu dan fakta sejarah sepatutnya kita ketahui sebagai rakyat Sarawak,” katanya pada

Forum Pembentukan Malaysia: Mengingat Semula MA63 diadakan di Dewan Masyarakat Oya semalam.

Beliau menjelaskan forum berkenaan merupakan satu peluang kepada semua penduduk untuk mendengar fakta sejarah jarang diketahui.

Jelasnya melalui forum tersebut, masyarakat dapat mengetahui apa patut diketahui dan kenapa perkara itu perlu diketahui terutama hak rakyat Sarawak.

“Kita harus berkongsikan setiap maklumat terperinci kepada semua rakyat Sarawak mengenai MA63 dan hak sebagai orang Sarawak agar dapat tersebar luas dalam kalangan masyarkat,” ujarnya.

Forum tersebut menjemput Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Presiden Persatuan Patriotik Sarawak, Datuk John Lau Pang Heng dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Faridah Osman sebagai moderator forum.

Beliau menambah isu berkaitan MA63 dan hak Sarawak tidak dibangkitkan sejak dahulu ketika itu di bawah kerajaan BN.

“Apabila berlakunya peralihan kuasa pada tahun lalu, ia menyebabkan kita perlu berdiri sendiri sebagai sebuah kerajaan baharu dan menuntut hak sebagai rakyat Sarawak,” ujarnya.

Katanya masyarakat dapat mengetahui Sarawak adalah penyumbang kepada 30 peratus daripada pengeluaran minyak dan 60 hingga 96 peratus pengeluaran gas secara keseluruhan bagi tahun 2005 hingga 2015.

“Sumber gas dan minyak semua milik kita, jadi apa yang kita lakukan sekarang di bawah MA63, kita harus tahu apa hak kita,” katanya.

Oleh itu katanya, hanya orang Sarawak sendiri akan dapat meneruskan perjuangan untuk menuntut hak Sarawak.

Forum tersebut dihadiri 500 penduduk kampung termasuk pelajar sekolah Tingkatan Lima dan Enam. Ia adalah anjuran PBB Dalat Pusat Khidmat Adun Dalat dengan kerjasama Persatuan Patriotik Sarawak.

Suara Sarawak