ARTIKEL

Mordi bergambar bersama peserta yang menyertai Fun Run sebelum membunyikan hon pelepasan.

Bersukan tidak semestinya bertanding – Mordi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Program Malaysia Aktif 2026 menjadi antara inisiatif kerajaan untuk menggalakkan rakyat terus bergerak dan mengamalkan gaya hidup aktif tanpa perlu menyertai aktiviti sukan berbentuk kompetitif.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata aktiviti fizikal tidak semestinya melibatkan pertandingan, sebaliknya pergerakan harian juga penting dalam memastikan masyarakat kekal aktif.

“Bersukan tidak semestinya kita bertanding atau berbentuk kompetitif. Sekurang-kurangnya kita bergerak.

“Asalkan kita bergerak, itulah sukan yang cuba kita sampaikan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Malaysia Aktif 2026 sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sarawak, hari ini.

Menurutnya, program itu menyediakan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam kegiatan fizikal, sekali gus menjadikan amalan hidup aktif sebagai sebahagian daripada rutin harian.

Mordi berkata kira-kira 3,000 peserta menyertai program berkenaan yang berlangsung dalam cuaca yang lebih baik, meskipun Sarawak sebelum ini terjejas akibat jerebu.

“Syukur dengan cuaca yang agak baik hari ini, memandangkan kita di Sarawak teruk dilanda jerebu.

“Hari ini kita ada lebih kurang 3,000 peserta yang terlibat dalam program Malaysia Aktif dan banyak aktiviti disediakan untuk menjayakan program ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sambutan Hari Sukan Negara peringkat Sarawak akan diadakan di Dewan Panglima Rentap, Betong, pada 17 Oktober ini.

Katanya, sebanyak 33 aktiviti akan disediakan bagi memeriahkan sambutan itu, termasuk larian santai dan berjalan kaki santai.

Beliau turut menyeru masyarakat, khususnya penduduk sekitar Betong, supaya hadir beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan.

Mengulas Belanjawan 2027 yang dibentangkan kerajaan Persekutuan, Mordi menyifatkannya sebagai belanjawan yang memberi perhatian kepada keperluan rakyat, terutama golongan akar umbi.

“Tiada belanjawan yang sempurna, tetapi sekurang-kurangnya saya melihat belanjawan kali ini menyentuh rakyat di peringkat akar umbi.

“Tidak banyak perkara yang terlalu menarik atau bersifat mewah, tetapi yang penting ialah belanjawan itu menyentuh keperluan rakyat,” katanya.

Ditanya mengenai peruntukan bagi sektor belia dan sukan, beliau berkata peruntukan untuk kementerian berkenaan secara keseluruhannya dilihat tidak banyak berbeza daripada sebelumnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU