KUCHING: Dua permohonan projek jalan ladang bagi kawasan Parlimen Selangau diterima oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).
Menterinya Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, permohonan diterima membabitkan Jalan Sekuau 1 dan Jalan Sekuau 2, Ulu Oya, yang meliputi kawasan tanaman kelapa sawit seluas 23.8 hektar.
“Bagaimanapun, kedua-dua projek berkenaan melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang memerlukan kelulusan khas serta penyelarasan dengan pihak berkuasa negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini (14 Oktober) berhubung pelaksanaan projek Jalan Ladang Pekebun Kecil di Sarawak, yang diutarakan Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta.
Dalam pada itu, beliau memberitahu sebanyak 50 projek jalan ladang sepanjang 116 kilometer diluluskan di Sarawak bagi tempoh 2023 hingga September 2026.
Dalam tempoh terbabit ia melibatkan peruntukan RM15.72 juta yang memberi manfaat kepada 886 pekebun kecil.

