KUCHING: Beberapa sistem perparitan akan diperbesar serta diletakkan pintu tebatan air sebagai langkah awal mengawal banjir kilat di kawasan Stutong.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng, berkata langkah jangka pendek itu dirancang untuk dilaksanakan di Lorong 2, Lorong 17 dan Lorong 18 di kawasan Stutong.
“Sebagai contoh di Lorong 2, banjir berlaku apabila hujan lebat turun kerana sistem perparitan sedia ada tidak mencukupi.
“Oleh itu, pada mesyuarat baru-baru ini, kami membincangkan aspek seperti memanjang dan melebarkan sistem perparitan serta mungkin akan memasang pintu air,” kata Hong Seng.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) hari ini.
Jelas Hong Seng, gerak kerja akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan dana daripada pihak pengurusan.
“Apabila timbul sesuatu isu, terutama memerlukan peruntukan besar, perancangan rapi atau khidmat rundingan, kita akan bertindak dengan melaksanakan penyelesaian sementara terlebih dahulu.
“Penyelesaian yang dicadangkan bertujuan untuk menangani isu secara lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Hong Seng turut mengulas tentang Skim Penempatan Semula Stampin yang kini masih dalam proses kajian menyeluruh.
Katanya, seorang pakar runding telah dilantik bagi menilai kawasan terbabit sambil menegaskan usaha itu dilaksanakan tanpa henti biarpun masyarakat masih meraikan Tahun Baru Cina.
“Kita masih menjalankan kajian tentang itu namun langkah sementara menangani banjir juga telah diambil untuk membantu mengalirkan lebihan air.
“Ketika kami melawat tapak, penduduk memaklumkan bahawa banjir berlaku sekali atau dua kali sebulan dan perkara itu sudah menjadi masalah biasa buat mereka,” ujarnya.

