ARTIKEL

Uggah diapit Dr Cassidy dan Dr Richard serta yang lain berpuas hati dengan perkembangan pembinaan Jambatan Sungai Paku.

Betong bakal nikmati perkhidmatan udara penghujung tahun ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Bahagian Betong dan kawasan sekitarnya dijangka menikmati perkhidmatan udara apabila STOLport Bebuling siap pada November tahun ini.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkhidmatan itu akan disediakan melalui syarikat penerbangan milik Sarawak, Air Borneo.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tiga projek besar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban bagi melihat kemajuan pembinaannya.

Projek tersebut ialah STOLport Bebuling bernilai RM248 juta yang kini siap 73.77 peratus, Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan (CPPC) Bebuling bernilai RM16 juta serta Jambatan Sungai Paku bernilai RM36 juta.

“CPPC ini hampir siap kecuali beberapa kerja akhir yang perlu dilakukan.

“Dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Wilayah atau RECORDA, bertujuan membangunkan kawasan seluas kira-kira 1,000 ekar di sekitar STOLport ini.

“CPPC akan mengumpul, memproses dan membungkus hasil mereka serta menghantarnya ke pasaran melalui udara dengan segera,” katanya.

Mengenai Jambatan Sungai Paku, Uggah yang diiringi Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu, Pengarah JKR Sarawak, Dr Cassidy Morris dan Residen Betong, Richard M Abunawas berkata, ia juga dijangka siap pada November tahun ini.

Katanya, projek itu kini mencapai tahap 65.88 peratus siap.

“Premier kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mahu projek-projek ini dijalankan dan disiapkan dengan jayanya dan semua kawasan luar bandar dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang baik termasuk jambatan.

“Ini akan membantu membangunkan potensi ekonomi kawasan tersebut sekali gus meningkatkan pendapatan rakyat.

“Sebagai contoh, kita sedang membina Jalan Pesisir dan Jalan Utama Kedua. Kita juga sedang meneliti banyak jalan balak,” katanya.

Beliau menambah, Sarawak kini sedang membina Jalan Penghubung Sarawak-Sabah 1 dengan kos RM1 bilion dan Jalan Penghubung Sarawak-Sabah 2 bernilai RM7.1 bilion.

Menurutnya, projek itu adalah tambahan kepada 16 jambatan yang sedang dibina di seluruh negeri.

“Menjelang bulan ini, Jambatan Jepak di Bintulu dan Jambatan Batang Rajang berhampiran Sibu akan dibuka kepada orang ramai.

“Kemudian pada April nanti, Jambatan Saribas 1 akan siap, manakala jambatan terpanjang merentasi sungai di negara ini, Jambatan Batang Lupar 1 juga akan siap.

“Jambatan Lingga di Sri Aman juga telah siap tetapi kita masih menunggu jalan akses di kedua-dua belahnya disiapkan,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU