ARTIKEL

Betong Kekal Harmoni Di Tengah Arus Teknologi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Kemajuan teknologi masa kini disifatkan sebagai cabaran terbesar dalam usaha memacu pembangunan modal insan, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin terdedah kepada pengaruh digital tanpa sempadan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, perkembangan pesat teknologi perlu diurus dengan bijak agar tidak menjejaskan nilai budaya serta jati diri masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa penggunaan teknologi secara tidak terkawal berpotensi menghakis nilai budaya selain membentuk keperibadian yang kurang seimbang.

“Perkembangan Kecerdasan Buatan (AI) yang digunakan dalam kehidupan seharian terutamanya kepada generasi hari ini akan membentuk keperibadian anak-anak dan mudah terdedah kepada jenayah siber seperti penipuan dalam talian.

“Sehubungan itu, peranan ibu bapa, pendidik serta komuniti amat penting bagi memastikan penggunaan teknologi berada pada landasan yang betul, selain memupuk nilai murni dan kesedaran digital dalam kalangan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong Tahun 2026/1447H di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, malam tadi.

Program berkenaan dianjurkan oleh Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) dengan kerjasama Jawatankuasa Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) Kampung Melayu Betong serta Persatuan Penduduk Kampung Melayu Betong (PPKMB).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar itu hadir mewakili Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan turut diiringi Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr. Richard Rapu.

Rentap turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam mendidik generasi muda supaya bijak menggunakan teknologi sebagai wadah pembangunan diri, bukannya menjadi punca kemerosotan nilai dan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau memuji semangat silaturahim erat yang dipupuk sejak sekian lama dan kekal menjadi tradisi turun-temurun dalam konteks kepelbagaian kaum serta agama di Betong sehingga hari ini.

Menyentuh mengenai kestabilan politik, beliau menjelaskan ia merupakan kunci utama bagi memastikan segala perancangan pembangunan yang diatur selari dengan keperluan serta budaya masyarakat setempat.

“Keseimbangan landskap politik memberi impak positif dalam merancakkan pembangunan fizikal dan modal insan.

“Tanpa sokongan rakyat, ia boleh merencatkan pembangunan dan akhirnya rakyat yang akan terkesan,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, Rentap mengumumkan sumbangan berjumlah RM20,000 daripada Uggah kepada Jawatankuasa Induk Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kampung Melayu Betong 2026.

Beliau turut menyumbangkan jumlah yang sama, manakala RM10,000 lagi disumbangkan oleh Dr. Richard.

Selain itu, beliau memaklumkan akan menyumbangkan lembu sempena perayaan Hari Raya Aidiladha akan datang kepada penduduk Kampung Melayu Betong.

Rentap turut menyempurnakan penyerahan cek geran sumbangan LKAMB kepada 13 pertubuhan termasuk masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Melayu Betong yang berjumlah keseluruhan RM110,000.

Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Keceriaan Kampung, Pertandingan Pintu Gerbang, Pertandingan Gerai Terbaik dan cabutan tiket bertuah, selain agihan duit raya kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah oleh pihak penganjur.

Suasana majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan artis jemputan iaitu Kumpulan Awin Majesty, Yabang Khalifah dan penyanyi veteran, Herman Tino.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU