KUCHING: Kongres dan Ekspo Pelancongan Perubatan Global Borneo (BGMT) 2026 menghimpunkan 51 syarikat serta hampir 500 delegasi bagi meneroka peluang kerjasama dan pelaburan dalam ekosistem pelancongan perubatan.
Pengerusi Penganjur BGMT 2026 yang juga Presiden Persekutuan Pelancongan Sarawak, Audry Wan Ullok berkata, platform ini diwujudkan bagi menghimpunkan pemain industri kesihatan, pelancongan, hospitaliti dan penerbangan untuk mengembangkan sektor berkenaan.
Katanya, pelancongan perubatan bukan sekadar melibatkan hospital dan pesakit, malah merangkumi teknologi, pelaburan, insurans, institusi penyelidikan serta ejen perubatan yang memainkan peranan penting dalam memastikan perjalanan pesakit berjalan lancar.
“BGMT merupakan platform yang membolehkan ekosistem ini bertemu untuk bertukar idea, membentuk kerjasama dan meneroka peluang perniagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pembukaan Kongres dan Ekspo MediPelancongan Global Borneo BGMT 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Audry berkata, edisi sulung itu turut menerima penyertaan dari lebih 10 negara, manakala lebih 2,000 pengunjung dijangka mengunjungi pameran sepanjang dua hari penganjuran.
Katanya, penyertaan antarabangsa itu menunjukkan minat pemain industri untuk meneroka potensi Sarawak sebagai destinasi pelancongan perubatan.
Beliau berkata, kedudukan strategik Sarawak di Borneo, berhampiran Indonesia dan Brunei serta mempunyai hubungan dengan Sabah, membuka peluang untuk menarik pesakit dari pasaran serantau termasuk ASEAN dan selatan Filipina.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan geografi sahaja tidak mencukupi kerana Sarawak perlu membina keyakinan ke atas perkhidmatan kesihatannya dengan memastikan kualiti penjagaan memenuhi piawaian antarabangsa.
Menurutnya, hubungan pengangkutan yang semakin baik juga berpotensi meluaskan pasaran pelancongan perubatan dengan memudahkan akses pesakit antarabangsa ke Sarawak.
Beliau berharap kongres dan ekspo itu dapat berkembang sebagai acara tahunan yang menghubungkan Borneo dengan pasaran antarabangsa, selain membantu meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan perubatan yang dipercayai.

