ARTIKEL

Sesi taklimat dan temu duga rasmi bagi pengambilan tahun 2026 berlangsung di Dewan Pesuruhjaya Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak semalam.

Biasiswa Khas KPMB tawar peluang pengajian untuk anak anggota PDRM dan golongan B40

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Anak-anak anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi penguat kuasa, golongan asnaf, anak yatim dan keluarga B40 berpeluang melanjutkan pengajian menerusi Biasiswa Khas Koperasi Pendidikan Malaysia Berhad (KPMB) bagi tahun 2026.

Program itu dimulakan dengan sesi taklimat dan temu duga rasmi di Dewan Pesuruhjaya Polis, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam selepas kontinjen berkenaan dipilih sebagai lokasi penganjuran bagi negeri ini.

Taklimat disampaikan oleh Pengerusi KPMB, SAC (B) Datuk Shamsudin Mat yang turut menjelaskan syarat kelayakan, kaedah permohonan serta proses pemilihan penerima biasiswa.

Menurut kenyataan PDRM Kontinjen Sarawak, tawaran biasiswa itu merupakan pengiktirafan terhadap jasa, pengorbanan dan komitmen anggota pasukan keselamatan negara. Langkah ini juga menjadi inisiatif strategik KPMB dalam melahirkan lebih ramai modal insan berkualiti dalam bidang penguatkuasaan, keselamatan dan tadbir urus berintegriti.

‘’Program Biasiswa KPMB diwujudkan bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah termasuk golongan asnaf, anak yatim dan B40 meneruskan pengajian menerusi penyediaan bantuan kewangan, di samping membuka peluang pendidikan kepada anak-anak anggota PDRM,’’ kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, selain meringankan beban kewangan keluarga, inisiatif tersebut diharap dapat meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi serta melahirkan generasi berpendidikan yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

Menurut kenyataan itu lagi, program berkenaan akan diteruskan ke beberapa lokasi lain di Sarawak iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Bintulu dan Miri bagi membolehkan lebih ramai calon yang layak menghadiri sesi taklimat serta temu duga.

PDRM Kontinjen Sarawak berharap pelaksanaan program itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak anggota pasukan keselamatan dan golongan yang layak, sekali gus memastikan lebih ramai pelajar berpotensi memperoleh peluang melanjutkan pengajian melalui bantuan biasiswa yang disediakan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU