KUCHING: Cadangan mewujudkan Biasiswa Mobiliti Global Sarawak perlu digerakkan secara dua hala agar negeri ini bukan sahaja menghantar pelajar ke universiti terkemuka dunia, malah turut menarik pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di sini.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, pendekatan itu penting kerana Sarawak mempunyai banyak nilai dan kekuatan untuk ditawarkan kepada masyarakat antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, cadangan mewujudkan biasiswa tersebut wajar dibincangkan bersama Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Ini selari dengan hasrat Premier yang mahu biasiswa disediakan untuk anak Sarawak melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia seperti Oxford, Cambridge dan Stanford, selain Universiti Peking serta Universiti Tsinghua di China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran eCITRA International: China Chapter 2026 bertemakan Spirit of the Horses and Hornbills di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan seperti itu turut dapat dilihat menerusi Biasiswa Duta China kepada 30 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang bakal mengikuti program mobiliti di China.
“Ini membuktikan bahawa bentuk terbaik dalam hubungan dua hala ialah hubungan rakyat dengan rakyat, selain memberi peluang kepada mereka untuk saling berkunjung dan berinteraksi secara langsung,” jelasnya.
Sejajar dengan itu, Dr. Sim menegaskan bahawa hubungan rakyat dengan rakyat memberi pulangan jangka panjang kerana pengalaman pendidikan serta pertukaran budaya akan terus dibawa oleh generasi muda sepanjang hayat mereka.
“Pemimpin datang dan pergi, tetapi jika kita melabur kepada pelajar universiti, mereka mungkin mempunyai 80 tahun lagi untuk memberi pulangan melalui hubungan rakyat dengan rakyat.
“Contohnya, pengalaman pendidikan tinggi mampu membuka ruang kepada hubungan yang lebih luas melibatkan ekonomi, budaya, pelancongan, perkongsian dan peluang masa depan.

“Oleh itu, peluang yang dibina melalui institusi pendidikan tinggi akan kekal sepanjang hayat seseorang individu berbanding hubungan perniagaan yang mungkin hanya berlaku untuk tempoh tertentu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha UNIMAS melangkaui sempadan Sarawak dan bergerak ke peringkat global adalah penting kerana negeri ini bukan sahaja mahu menghantar pelajarnya ke institusi terbaik dunia, malah turut menarik yang terbaik dari luar negara datang ke sini.
“Saya difahamkan terdapat kira-kira 360 pelajar China yang mengikuti pengajian di Sarawak sama ada secara fizikal di kampus atau secara dalam talian dan jumlah ini signifikan dalam menyumbang kepada hubungan dua hala antara Sarawak dengan China,” jelasnya.
Mengulas mengenai eCITRA, beliau berkata, pameran seni itu turut seiring dengan usaha membentuk visi hubungan Sarawak-China yang lebih luas kerana ia bukan sekadar simbolik melalui kuda dan burung kenyalang, malah turut mencerminkan perkongsian nilai, kreativiti dan kejayaan.

“Kuda yang sangat sinonim dengan Inner Mongolia melambangkan kepantasan, manakala burung kenyalang yang unik kepada Sarawak melambangkan ketinggian penerbangan, sekali gus membawa makna kejayaan,” katanya.
Dr. Sim menegaskan pameran tersebut membuktikan bahawa hubungan Sarawak-China selama lebih 50 tahun bukan sekadar hubungan rasmi, malah turut melibatkan persahabatan, perkongsian dan pertukaran budaya.
“Pertukaran budaya ini bukan sekadar pameran seni kerana delegasi dan karya yang hadir telah menempuh perjalanan ribuan kilometer.
“Setiap karya seni itu unik dan memerlukan perancangan, komitmen serta sumber yang besar untuk dibawa ke sini,” tambahnya.




