Bina jalan ke kampung terpencil

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan mempertimbangkan pembinaan jalan darat Kampung Paloh, Kampung Kedang dan Kampung Berangan yang menghubungkan kawasan sekitar Tanjung Manis.

Menterinya Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata, setakat ini cadangan bagi pembinaan jalan hubungan darat Kampung Paloh, Kampung Kedang, Kampung Berangan serta jalan di Bukit Kinyau, Parit Bugis, Semaring, Teluk Gelam tidak tersenarai dalam keutamaan negeri yang telah dikemukakan kepada kementeriannya.

“Bagaimanapun, jika sudah ada dalam pelan tindakan, maka tiada masalah untuk dijadikan pertimbangan. “Kita akan pastikan perkara tersebut berlaku kerana kali terakhir saya melawat kawasan tersebut adalah 15 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abd Wahab dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini, kelmarin.

Yusuf bertanya berkenaan jalan darat dengan kampung lain selain Kampung Kedang dan penempatan rumah panjang Berangan kerana ketiga-tiga kawasan terletak di atas sebuah pulau besar yang terpisah daripada kawasan lain oleh muara Batang Paloh yang sangat lebar.

Beliau turut mengemukakan permohonan kedua mengenai hal yang serupa juga dialami oleh Bukit Kinyau, kawasan Parit Bugis, Semaring, Mupong dan Teluk Gelam. “Ini sudah dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dalam perbahasan saya.

“Saya berharap ia dapat dipertimbangkan terutama Kampung Paloh, Kampung Kedang, Kampung Berangan yang menghubungkan kawasan sekitar Tanjung Manis kerana sehingga kini Kampung Paloh tiada jalan tetapi kawasan berhampiran sudah ada,” jelas Yusuf.

Dalam hal berkaitan, Abdul Latiff turut menjawab soalan tambahan Yusuf berkenaan penyambungan bekalan elektrik berterusan dari grid bekalan elektrik utama kawasan Mupong, Teluk Gelam, dan Semaring.

“Setakat ini, dua kaedah digunakan untuk membekalkan elektrik ke lokasi projek jauh iaitu bekalan elektrik secara talian grid dan sistem alternatif seperti solar dan juga mikro hidro.

Kaedah alternatif projek ini digunakan apabila lokasi projek agak jauh. “Saya bercadang agar Ahli Parlimen Tanjung Manis (Yusuf) menghantar senarai projek kepada pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak untuk dimasukkan dalam Rancangan Boleh Pinda Sarawak,” jelasnya lagi.

Suara Sarawak