PROGRAM Pembentukan Karakter yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dijadikan salah satu inisiatif utama dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Secara asasnya, ia bertujuan untuk membentuk individu bersahsiah unggul, beradab dan bertanggungjawab di peringkat sekolah.
Menurut kenyataan rasmi KPM, Program Pembentukan Karakter akan dilaksanakan secara bersepadu di peringkat sekolah menerusi aktiviti harian pembelajaran.
Bagi peringkat sekolah rendah dan menengah, peruntukan masa khusus selama 60 minit seminggu akan disediakan dalam jadual waktu persekolahan untuk membolehkan aktiviti pembentukan karakter dilaksanakan secara terancang dan berfokus.
Program ini memberi penekanan dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berfokuskan kepada aktiviti yang memberi tumpuan kepada penghayatan nilai, tingkah laku positif, serta penerapan adab dan akhlak dalam konteks kehidupan seharian murid.
Dalam era kini, landskap pendidikan negara tidak lagi boleh berpaksikan kepada kecemerlangan akademik semata-mata.
Menurut Guru Perpustakaan dan Media di SK Matang, Noor Rima Rajak, sebagai seorang pendidik yang berdiri di barisan hadapan bilik darjah, beliau melihat betapa pentingnya anjakan paradigma yang holistik, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam pembentukan karakter.
Katanya, pendidikan karakter hadir bukan sebagai satu bebanan kurikulum baharu, melainkan satu sistem nilai terancang untuk membentuk watak, moral, dan sahsiah murid.
“Melalui lensa seorang pendidik, pelaksanaan pendidikan karakter yang mampan bukan sahaja membawa kebaikan yang substantif kepada murid dan guru, malah menjadi penentu aras kepada masa depan tamadun pendidikan di Malaysia.
“Dari sudut pandangan pengajaran harian, murid menerima acuan pendidikan karakter yang kukuh akan membesar sebagai modal insan yang mempunyai jati diri.
“Di dalam bilik darjah, kita bukan sahaja mahu melahirkan murid yang bijak menghafal formula, tetapi kita mendambakan generasi yang tahu membezakan antara hak dan batil,” katanya ketika dihubungi.
Pendidikan karakter mampu bertindak sebagai ‘kompas moral’ untuk menepis amalan negatif seperti buli siber, ketagihan gajet, dan keruntuhan akhlak.
Selain itu, nilai seperti ketekunan dan daya tahan yang disuntik melalui pendidikan karakter membolehkan murid menghadapi tekanan emosi atau kegagalan dalam akademik dengan matang.
“Mereka belajar untuk bangkit semula, sekali gus membentuk minda kelas pertama yang sangat diperlukan bagi mendepani cabaran abad ke-21.
“Bagi seorang guru, bilik darjah yang harmoni adalah sebuah syurga pembelajaran.
Apabila pendidikan karakter berakar umbi dalam diri murid, kita akan melihat penurunan ketara dalam kes salah laku disiplin.
“Murid yang dididik dengan nilai adab mempamerkan rasa hormat yang tinggi kepada guru, menghargai rakan sebaya, dan menjaga kebersihan persekitaran sekolah.
Suasana kondusif ini secara langsung mengurangkan beban tekanan emosi guru,” tambah guru bagi mata pelajaran Sains tersebut.
Dalam konteks ini, guru tidak hanya mengajar sukatan pelajaran atau gred peperiksaan, sebaliknya kembali kepada fitrah asal perguruan iaitu sebagai murabbi — pembentuk insan, penyemai kasih sayang, dan pembina peradaban manusia.
Sektor pendidikan masa depan tidak lagi dinilai pada bilangan ‘A’ yang diperoleh, tetapi pada kualiti manusiawi yang disumbangkan oleh graduan sekolah kepada komuniti dan negara.
Secara tuntasnya, pendidikan karakter bukan sekadar satu retorik di atas kertas, tetapi satu keperluan mendesak yang menuntut komitmen tenaga pengajar dan kerjasama masyarakat.
Akhir kata, mendidik anak bangsa bukan sekadar mengejar pencapaian di atas kertas, tetapi tentang membentuk hati dan jiwa agar mereka menjadi insan yang budiman.
Apabila sekolah, guru dan ibu bapa bergerak seiring membaja nilai murni ini, kita bukan sahaja melahirkan remaja yang cerdik mindanya, malah kaya dengan adab, siap memimpin masa depan negara dengan penuh integriti dan kasih sayang.



