MENJADI lumrah dalam kehidupan apabila semua orang mahu didengari, tetapi tidak semua orang mahu mendengar. Berbeza pandangan atau tidak bersetuju, terus dianggap menentang.
Memberi kritikan, terus dituduh membenci. Kadangkala, hanya kerana seseorang tidak sependapat dengan kita, hubungan yang baik pun boleh berubah menjadi permusuhan.
Dalam konteks sosial, kita sepatutnya mampu membezakan pendapat tanpa perlu saling menghina.
Malangnya, kita semakin cepat marah. Media sosial menjadikan keadaan itu lebih ketara.
Rata-rata membaca tajuk, terus membuat kesimpulan sendiri di ruangan komen.
Melihat satu potongan video, terus menghukum dan menimbulkan kemarahan dalam diri. Isu mudah marah ini bukan sahaja memberi kesan kepada orang lain.
Ia akhirnya kembali kepada diri sendiri.
Fikiran terus memikirkan perkara yang berlaku, mengulang semula perdebatan dan membayangkan jawapan yang sepatutnya diberikan.
Apabila keadaan ini menjadi kebiasaan, emosi juga mudah terganggu.
Perkara kecil yang sebelum ini boleh diterima mungkin mula menimbulkan rasa tidak puas hati. Kita menjadi lebih mudah tersinggung, cepat melenting dan sukar memaafkan.
Seseorang datang bekerja dengan fikiran yang masih sibuk memikirkan pertengkaran mungkin sukar untuk memberi tumpuan.
Kadangkala, kemarahan ke atas satu perkara yang berlaku di luar tempat kerja, dilampiaskan kepada orang yang langsung tidak berkaitan. Kemarahan berpanjangan juga boleh mempengaruhi kesihatan.
Tekanan emosi berulang boleh menyebabkan seseorang berasa letih, sukar tidur dan sentiasa berada dalam keadaan tidak tenang. Dalam jangka panjang, tekanan yang tidak diurus dengan baik boleh menjejaskan kesejahteraan fizikal dan mental.
BERHENTI SEKETIKA
Dalam kehidupan sosial pula, isu cepat marah boleh menyebabkan kita semakin jauh daripada orang lain.
Perbualan yang sepatutnya menjadi ruang bertukar fikiran berubah menjadi pertandingan untuk menentukan siapakah yang paling betul. Setiap individu perlu belajar berhenti seketika sebelum memberi reaksi.
Tidak semua isu memerlukan jawapan.
Tidak semua provokasi perlu dilayan.
Tidak membalas bukan bermakna kita kalah.
Ia mungkin tanda bahawa kita cukup matang untuk tidak membenarkan orang lain mengawal emosi kita.
Seterusnya, bezakan antara mengkritik pandangan dengan menyerang peribadi.
Dalam perbezaan pandangan, kita juga perlu belajar membezakan antara mempertahankan prinsip dengan mempertahankan ego.
Tolak kepentingan peribadi. Kita tidak perlu memenangkan setiap perdebatan. Kita tidak perlu membalas setiap komen.
Tidak setuju tidak bererti bermusuh.
Berbeza pandangan tidak bermakna kita perlu saling membenci.
Dalam dunia yang semakin cepat menghukum, kemampuan untuk berhenti seketika, mendengar dan memahami mungkin menjadi tanda kematangan yang paling besar.
Membina sikap lebih tenang bukan bermakna kita perlu menjadi seseorang yang tidak pernah marah.
Marah ialah emosi yang normal dan setiap orang pasti mengalaminya.
Namun, yang penting adalah bagaimana kita mengurus emosi tersebut sebelum ia mengawal tindakan dan pertuturan.
Tindakan yang dibuat dalam keadaan marah selalunya berakhir dengan penyesalan.
Kata-kata yang dilontarkan mungkin tidak boleh ditarik semula, mesej yang dihantar mungkin tidak boleh dipadam daripada ingatan dan keputusan yang dibuat secara terburu-buru mungkin membawa kesan yang lebih panjang daripada yang dijangka.
Kita juga perlu belajar menerima hakikat bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalan kita. Kita tidak boleh mengawal pendapat orang lain, cara mereka berfikir atau bagaimana mereka memberi reaksi.
Paling penting, jangan menjadikan kemarahan sebagai sebahagian daripada keperibadian.
Setiap kali kita memilih untuk tidak membalas provokasi, mendengar sebelum menghukum dan berfikir sebelum berkata-kata, kita sebenarnya sedang membina diri yang lebih tenang.
Ketenangan bukan sahaja membantu kita mengawal reaksi, malah memberi ruang untuk kita membuat penilaian sesuatu perkara dengan lebih baik.
Dalam keluarga, tempat kerja dan kehidupan bermasyarakat, sikap ini dapat mengurangkan konflik serta mewujudkan hubungan yang lebih sihat.
Pada akhirnya, ketenangan bukan kelemahan dan bukan juga tanda seseorang tidak mempunyai pendirian.
Sebaliknya, ia kekuatan apabila kita mampu mengatasi kemarahan.



