MINGGU ini, kerajaan bersetuju untuk meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan sejak tahun 2018.
PLKN diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun 2003 merupakan kursus latihan wajib di Pusat Latihan PLKN seluruh Malaysia bagi sesetengah daripada mereka yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah menengah di Malaysia atau berumur 17 tahun ke atas.
PLKN dilaksanakan bagi membina sahsiah diri untuk membina dan mengukuhkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional dan membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni.
Pada tahun 2015, PLKN ditangguhkan untuk menjimatkan RM400 juta. Pengumuman tersebut diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri ketika itu.
Pada 13 Ogos 2018, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman ketika itu memutuskan program PLKN dan BTN dimansuhkan.
Kini program ini diteruskan semula dengan 13 kem tentera Wataniah akan digunakan untuk latihan selama tempoh 45 hari yang mampu menampung kapasiti sehingga 4,000 pelatih.
Memetik laporan berita, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, Jemaah Menteri pada pada 2021 sudah pun meluluskan supaya ia dikaji semula dengan cara baharu untuk kita meneruskan PLKN.
“Satu jawatankuasa khas ditubuhkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengkaji bagaimana cara kita hidupkan semula PLKN, tetapi dengan acuan baharu yang mana PLKN dulu dilakukan di banyak kem.
“Kita mahu supaya kali ini kita tidak berbelanja banyak, tetapi ia lebih memberikan pulangan baik kepada modal insan,” katanya ketika menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat tempoh hari.
Saya sedikit sangsi dengan hasrat kerajaan untuk meneruskan program tersebut kerana keberkesanan terhadap khususnya kepada pelatih.
Adakah dengan program tersebut diteruskan, beliabelia ini akan keluar sebagai insan yang berdisiplin, bertanggungjawab serta utuh semangat patriotisme kepada negara dan mempunyai nilai-nilai murni seperti yang termaktub dalam Rukun Negara?
Ini ditambah lagi dengan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk menampung operasi program dan pelatih yang menjalani latihan di kem yang ditetapkan.
Bagaimanapun, ada wajar program berkenaan diteruskan dengan mengambil kira masalah sosial yang berlaku dalam kalangan belia kini.
Ini kerana kebanyakan masa lapang belia kini diisi dengan aktiviti sosial yang kurang memberi manfaat kepada diri mereka sendiri.
Malah mereka dilabel sebagai lembik, enggan berdikari dan tidak beradap menurut generasi sebelum mereka.
Oleh itu, untuk PLKN 3.0 kali ini, ia harus mewajibkan semua belia lepasan sekolah tanpa dipilih secara rambang agar masa lapang mereka tidak diisi dengan aktiviti tidak senonoh.
Selain itu, aktiviti yang dilaksanakan dalam PLKN tidak seharusnya tertumpu di dalam kem sahaja, malah diperluaskan dengan melaksanakan aktiviti di luar seperti memberi khidmat kepada masyarakat dan sebagainya.
Selain menjalani latihan di Kem Wataniah, program itu juga boleh dilaksanakan di Pusat Latihan Polis agar semua belia di negara ini dapat menikmati program PLKN.
Program PLKN ini pada hemat saya harus dilaksanakan seperti yang dilakukan di Singapura dan Korea Selatan agar bakal pelatih ini tidak menganggap ia sebagai satu percutian, sebaliknya sebagai satu tanggungjawab kepada mereka terhadap negara.



