KOTA SAMARAHAN: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) berhasrat untuk mewujudkan sebuah taman bonsai sebagai tarikan pengunjung dan sokongan terhadap aktiviti tanaman semula jadi.
Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman berkata, penubuhan taman tersebut dijangka akan mempromosikan aktiviti penanaman bonsai secara lebih meluas di samping menjadi platform rujukan tentang tanaman bonsai kepada masyarakat.
“Dalam perkara ini, kita akan melaksanakan lawatan ke Jepun dan melihat isu sama ada dapat bekerjasama dengan Persatuan Bonsai dalam berkolaborasi mengadakan beberapa program termasuk pameran bonsai dan juga membentuk atau menguruskan taman bonsai seperti DBKU sedia maklum.
“Jadi ini adalah peluang untuk kita membenarkan atau memberi peluang kepada masyarakat awam untuk mengetahui lebih lanjut tentang bonsai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian kejohanan Bonsai dan Suiseki Championship 2024 di pusat beli-belah La Promanade, di sini, hari ini.
Beliau menegaskan rancangan awal lokasi penubuhan taman tersebut adalah terletak berhampiran taman orkid.
“Saya sudah bercakap perkara ini dengan Persatuan Bonsai Malaysia, Persatuan Bonsai Sarawak dan Persatuan Bonsai Indonesia.
“Jadi saya merasakan penyertaan oleh pencinta bonsai menerusi persatuan mereka akan menjadi kelebihan untuk kita membentuk taman bonsai untuk Kuching itu sendiri.
“Ia akan memakan masa tapi mungkin juga ia tidak terlambat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau percaya cadangan tersebut sebagai salah satu usaha untuk mencantikkan bandaraya Kuching.
Terdahulu, turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Datuk Peter Minos.

