Bina tandas di pangkalan feri

TRISO: Selepas siap ruang solat, seorang insan tua berhati mulia yang dikenali sebagai Haji Siddieq dalam kalangan penduduk tempatan kini dalam proses membina tandas untuk kemudahan orang ramai.

Awal tahun lalu, tular kisah Imam Dua Masjid Triso Lihi @ Lehi Chali tentang ruang solat pertama yang dibinanya di pangkalan feri Triso.

Difahamkan, ruang berkenaan menjadi kemudahan baharu untuk umat Islam menunaikan solat.

Ia dilengkapi dengan sejadah dan kipas.

Menurutnya, ruang solat tersebut mampu memuatkan lapan jemaah.

“Sesiapa sahaja boleh menggunakan ruang ini untuk bersolat,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengharapkan pengguna agar bersama-sama menjaga kebersihan ruang solat tersebut supaya kekal bersih dan selesa digunakan.

Sosok tua yang turut berniaga di pangkalan feri menyatakan sedang membina tandas untuk kemudahan orang ramai.

Inisiatif yang diambil oleh beliau benar-benar memberikan manfaat kepada orang ramai.

Perkhidmatan feri Triso-Sebuyau yang terletak di jajaran Jalan Pesisir merupakan laluan utama untuk ke utara mahupun selatan Sarawak.

Kini, laluan pesisir semakin menjadi pilihan utama pengguna kerana jaraknya yang lebih dekat berbanding Lebuh Raya Pan Borneo yang kini dalam pembinaan.

Maka, kalau tiba waktu solat sementara menunggu feri, umat Islam boleh menggunakan kemudahan tersebut.

Suara Sarawak