Bintang bola sepak, jaguh bola tampar

MOHD Ali Sapiee lebih dikenali sebagai bintang bola sepak ternama Sarawak yang mewarnai persada Liga Malaysia sepanjang 19 tahun (1982-2001).

Mungkin ramai yang tidak tahu, pemain yang mesra dengan panggilan ‘Alek’ itu, juga merupakan jaguh bola tampar Sarawak.

Beliau lahir sebagai satu-satunya atlet Sarawak yang menguasai dua gelanggang, dalam sukan yang menggunakan kaki dan tangan.

“Bola tampar adalah sukan kedua saya. Saya tidak akan melepaskan peluang untuk menikmati permainan ini ketika musim cuti bola sepak.

“Hanya saya seorang pemain Melayu, kerana yang lainnya semua pemain Cina,” katanya yang pernah membantu Sarawak muncul juara Kejohanan Bola Tampar Kebangsaan 1987.

Bagaimanapun, cintanya terhadap bola sepak terlalu mendalam, namun bola tampar tetap di hati.

Hampir 20 tahun sudah berlalu, Ali yang kini berusia 57 tahun masih dikenang sebagai pemain tengah terbaik di Bumi Kenyalang dan sebagai antara terbaik di Malaysia.

Bekas jurulatih Sarawak 1988-89, Awang Mahyan Awang Muhamad menganggap Ali sebagai generasi pemain tengah yang tiada tolok banding sehingga kini.

“Dia bukan sahaja memiliki kemahiran yang tinggi, tetapi juga mempunyai daya kepemimpinan yang hebat… dia ada pengaruh yang cukup kuat dalam pasukan.

“Saya sering mengajaknya berbincang ketika mengatur strategi dan menyusun taktik kerana dia mempunyai banyak idea. Oleh itu, dia amat penting dalam pasukan Sarawak 1988 dan 1989,” ujar Mahyan.

“Bagi saya sehingga sekarang ini, belum ada pemain tempatan kita yang mampu menandingi beliau,” ujar Mahyan yang pernah menjadi penasihat skuad Sarawak 2018/2019.

KENANGAN LALU… Ali (berdiri tiga dari kiri) bersama pasukan Sarawak 1997 yang menjuarai Liga Perdana.

Tiga kali dipanggil Malaysia

Oleh itu, beliau pernah tiga kali dipanggil menjalani latihan bersama-sama pasukan Malaysia pada penghujung 80-an dan awal 90-an. Antara bintang Harimau Malaya ketika itu ialah Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Azizul Abu Hanifah, Radhi Mat Din, Lee Kin Hong, Ahmad Sobri Ismail dan Subadron Aziz.

Bagaimanapun, agak malang bagi Ali kerana tidak dapat menyarung jersi Malaysia kerana komitmen keluarga di Kuching.

Namun baginya, berlatih bersama-sama ‘sang bintang’ merupakan satu pengalaman yang sukar dilupakan. Beliau amat mengagumi kehebatan Azizul Abu Hanifah yang dianggapnya sebagai pemain tengah luar biasa. Ia merujuk kepada kepintaran, ketepatan hantaran, kemahiran individu yang amat tinggi dan kekreatifan.

Dalam konteks Sarawak pula, Ali berpendapat, Ibrahim Mantali sebagai pemain tengah paling berbakat yang pernah dilahirkan Sarawak selepas eranya.

“Ibrahim mempunyai kemahiran hantaran yang sangat tepat dan merupakan pemain yang bijak,” ujar Ali.

Ibrahim merupakan gandingan mantap Ali dalam skuad Bujang Senang pimpinan Alan Vest yang menjuarai Liga Perdana 1997, Piala Sumbangsih 1998, finalis Piala FA 1996, 2001 dan finalis Piala Malaysia 1999. Selain Ibrahim, beberapa lagi pemain ternama tempatan yang pernah beraksi dengan Ali. Misalnya, Jalil Ramli, Roslan Ismail, Zaidel Sakup, Dahlan Matusin, Affendi Julaihi, Zapri Manai, Aedi Julaihi, Razak Ismail, Pengiran Bala, Burhaniza Abu Bakar, Ramles Sari, Ramos sari, Bobby Pian dan Safri Amit.

Detik pahit, manis

Bagi Ali tahun 1999 merupakan detik yang cukup pahit, bukan hanya kalah 2-1 kepada Brunei dalam final Piala Malaysia, tetapi beliau sendiri tidak dapat beraksi kerana digantung permainan.

“Amat sukar untuk membayangkan perasaan saya ketika itu… bayangkan anda tidak dapat bermain gara-gara dua kad kuning yang tidak sepatutnya ketika aksi separuh akhir,” tegas Ali.

Ketika itu Ali hanya duduk di bangku pemain simpanan, hanya mampu memerhati rakan seperjuangan bertungkus-lumus di padang.

Namun kejayaan pasukan Ngap Sayot mara ke separuh akhir Piala Malaysia 1988 merupakan kenangan yang paling manis.
Walaupun kalah 1-0 kepada Kedah dalam aksi separuh akhir kedua di gelanggang berkecuali (Stadium Nasional Singapura), namun ia merupakan perintis kebangkitan pasukan Sarawak.

“Walaupun kalah, kami disambut bagaikan pulang dari ibadah haji di lapangan terbang. Kami disambut meriah di tengah-tengah ribuan penyokong,” katanya.

NGAP SAYOT 1988… Ali (barisan tengah, tiga dari kanan) bersama skuad Sarawak 1988.

Pernah menjadi penjaga gol

Sepanjang karier, Ali yang mampu bermain di posisi serangan, pertahanan dan tengah, juga pernah beraksi sebagai penjaga gol.

“Ketika era awal 80-an, saya mengambil alih tempat Affendi Jol (penjaga gol) yang cedera… ketika itu kami menentang Kedah,” ujarnya.

Mungkin kerana kemahiran sebagai pemain bola tampar membantu Ali berupaya memikul tugas sebagai penjaga gol.
Pesanan Ali buat pemain zaman sekarang ialah agar sentiasa mengakui kelemahan diri sendiri, dan tidak mudah patah semangat untuk memperbaikinya.

“Sepanjang sebagai pemain, saya tidak pernah memikirkan tentang kekuatan atau kelebihan saya, sebaliknya saya selalu memikirkan tentang kesilapan dan kelemahan,” tegasnya.

Sebagai pemain tiga generasi (1982-2001), Ali diingati sebagai pemain bola sepak kebanggaan seluruh rakyat di negeri ini dan beliau wajar mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Sarawak, sebagai antara bintang sukan yang paling menyinar.

Nama Ali akan terus terpahat dalam diari bola sepak Sarawak bersama-sama jaguh silam seperti Jahar Nor, Morshidi Awet, James Yakub dan Awang Ali Bema. Tidak dilupakan pemain seperti Bobby Pian, Joseph Kallang Tie, Affendi Julaihi dan Ramos Sari yang pernah menyarung jersi pasukan senior Malaysia.

PROFIL
NAMA PENUH: Mohd Ali Sapiee
NAMA TIMANGAN: Alek
TARIKH LAHIR: 10 Jun 1963
UMUR: 57 tahun
POSISI: Tengah
KETINGGIAN: 5 kaki 9 inci
BERAT BADAN: 65 kg (hingga sekarang).
PENYERTAAN: Mula sertai Sarawak pada 1982 hingga 2001.
KEBOLEHAN: Boleh beraksi di semua posisi
SUKAN LAIN: Bola keranjang
HOBI: Memancing
ANAK: Empat orang (tiga lelaki, seorang perempuan). Dua anaknya pernah mewakili skuad Piala Presiden Sarawak (Nazriq Khalilif dan Amirul Akmal).

 

Suara Sarawak