SAINGAN tenis di Sukan SEA kini semakin mencerminkan tahap bertaraf dunia ekoran penyertaan atlet elit berstatus antarabangsa yang berebut pingat, sekali gus mengangkat prestij kejohanan serantau itu ke tahap lebih tinggi.
Bintang tenis Indonesia, Janice Tjen, yang berada dalam kelompok 60 terbaik dunia, menyifatkan peningkatan kualiti permainan di Asia Tenggara itu sebagai petanda positif untuk masa depan tenis rantau ini. Situasi ini berlaku terutamanya apabila semakin ramai pemain muda berbakat mula menyerlah di pentas antarabangsa.

Pemain berusia 23 tahun kelahiran Jakarta itu yang menghuni ranking No.54 dunia perseorangan dan No.84 beregu Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) membuat penampilan sulung Sukan SEA di Pusat Pembangunan Tenis Kebangsaan, Nonthaburi, di sini.
Namun, kemaraan Janice ke final perseorangan wanita terhenti selepas beliau terpaksa menarik diri di peringkat separuh akhir akibat masalah pernafasan. Beliau berpuas hati dengan pingat gangsa bersama seorang wakil Thailand.
Keputusan itu turut menafikan peluang pertembungan semula berprofil tinggi untuk merebut emas menentang pilihan utama Filipina, Alex Eala yang berada di kedudukan ke-53 dunia WTA. Alex Eala akhirnya muncul juara.
“Ini adalah Sukan SEA pertama saya dan saya benar-benar kagum dengan peningkatan tahap tenis di Asia Tenggara yang semakin tinggi dan kompetitif.
“Penyertaan pemain bertaraf dunia dalam Sukan SEA membuktikan bahawa kejohanan ini bukan lagi sekadar pentas pembangunan, sebaliknya sudah menjadi medan persaingan serius melibatkan atlet elit,” kata Janice dalam temu bual eksklusif bersama Suara Sarawak.
Janice turut menamakan beberapa pemain muda yang dilihat berpotensi besar, termasuk wakil Malaysia, Shihomi Leong serta Eva Marie Desvignes dari Singapura.
“Saya melihat ramai pemain junior yang sangat berbakat, sama ada dari Malaysia, dan Singapura juga ada pemain muda yang bagus.
“Saya harap lebih ramai lagi pemain dari Asia Tenggara akan muncul di peringkat dunia,” ujarnya.
Kebangkitan Janice di pentas WTA turut menjadi inspirasi apabila beliau mencipta sejarah awal tahun ini dengan menjuarai Terbuka Chennai 2025, sekali gus menjadi pemain wanita Indonesia pertama memenangi gelaran perseorangan jelajah utama.
Dengan satu gelaran perseorangan dan dua gelaran beregu WTA dalam koleksinya, Janice kini menyasarkan konsistensi prestasi. Beliau merancang untuk bersaing dalam kalendar penuh WTA buat pertama kali pada musim 2026.
“Saya tidak sabar untuk bermain sepanjang musim dalam Jelajah WTA.
“Ini kali pertama saya berpeluang beraksi sepanjang tahun, dan saya teruja untuk bersaing dengan pemain-pemain terbaik dunia,” katanya.
Dalam masa sama, Janice menyeru atlet muda Asia Tenggara agar tidak gentar mengejar impian meskipun datang dari rantau yang sebelum ini kurang mendapat perhatian dalam arena tenis global.
“Jangan pernah hilang harapan dan sentiasa percaya pada diri sendiri kerana itu paling penting.
“Walaupun kita datang dari rantau yang belum ramai wakil di peringkat dunia, asal usul bukan penghalang untuk berjaya,” katanya.



