ARTIKEL

POSTER….Penyertaan Bintulu Cops Run 2.0 kini dibuka.

Bintulu Cops Run 2.0 kembali, penyertaan pelari kini dibuka seluruh negara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU : Bintulu sekali lagi bakal menjadi tumpuan komuniti pelari apabila Bintulu Cops Run 2.0 kembali dianjurkan dengan menawarkan tiga kategori larian membabitkan jarak 5 kilometer (KM), 11KM dan 21KM serta hadiah wang tunai sehingga RM1,500, sekali gus dijangka menarik penyertaan pelari kompetitif dan rekreasi dari seluruh negara.

Acara anjuran Kelab Polis Daerah Bintulu yang membawa tema “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada” itu akan berlangsung pada 31 Oktober depan dengan pelepasan peserta dijadualkan seawal 3 pagi di kawasan parkir Farley Medan Court, Medan Jaya.

Penganjuran edisi kedua itu bukan sahaja bertujuan mempromosikan budaya hidup sihat menerusi sukan larian, malah menjadi platform mengeratkan hubungan antara warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat menerusi penyertaan dalam aktiviti sukan komuniti.

Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu 5KM Fun Run, 11KM dan 21KM bagi kategori lelaki dan wanita. Kategori 5KM memberi peluang kepada peserta rekreasi dan keluarga menikmati pengalaman berlari dalam suasana santai, manakala kategori 11KM dan 21KM dijangka menjadi tumpuan pelari yang ingin menguji kemampuan serta bersaing merebut hadiah wang tunai.

Yuran penyertaan ditetapkan pada RM60 bagi kategori 5KM, RM70 untuk kategori 11KM dan RM110 bagi kategori 21KM.

Bagi kategori 11KM, juara lelaki dan wanita masing-masing akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, diikuti RM700 bagi naib juara dan RM500 untuk tempat ketiga.

Pemenang tempat keempat menerima RM200, manakala peserta di kedudukan kelima hingga kesepuluh akan memperoleh RM100 setiap seorang.

Kategori 21KM pula menawarkan ganjaran lebih lumayan dengan juara menerima RM1,500, naib juara RM1,000, tempat ketiga RM700, tempat keempat RM200, manakala peserta yang menduduki tempat kelima hingga kesepuluh turut menerima RM100 setiap seorang.

Bagi kategori 5KM Fun Run, semua peserta yang berjaya menamatkan larian akan menerima pingat penamat.

Bagi memastikan integriti pertandingan, semua peserta diwajibkan melengkapkan laluan rasmi yang ditetapkan.

Peserta kategori 11KM dan 21KM juga perlu mendapatkan gelang tangan (wristband) di pusat pemeriksaan sebagai bukti telah melalui laluan perlumbaan sebelum layak menebus pingat penamat.

Pendaftaran kini dibuka dan dijadual ditutup pada 19 September depan manakala pengambilan kit perlumbaan akan diadakan selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Oktober 2026 di Farley Medan Jaya, Bintulu, dari 8 pagi hingga 12 tengah hari serta 2 petang hingga 5 petang.

Penganjuran Bintulu Cops Run 2.0 dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara acara larian komuniti utama di Sarawak, selain menjadi platform mempromosikan Bintulu sebagai destinasi sukan dan rekreasi serta memperkukuh semangat kebersamaan antara PDRM dan masyarakat melalui aktiviti gaya hidup sihat.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU