BINTULU: Bintulu dipilih sebagai antara lokasi strategik pelaksanaan Program TalentPath Sarawak 2026 berikutan permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga kerja berkemahiran dalam sektor minyak dan gas, petrokimia, tenaga, pembinaan serta industri berat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pembangunan kemahiran teknikal yang selari dengan keperluan industri menjadi keutamaan bagi memastikan rakyat tempatan mampu merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan hasil pertumbuhan ekonomi dan kemasukan pelaburan bernilai tinggi ke negeri ini.

Beliau berkata, Bintulu sebagai hab perindustrian utama Sarawak memerlukan tenaga kerja yang memiliki kemahiran praktikal dan kompetensi yang diiktiraf industri bagi menyokong operasi serta pengembangan pelbagai sektor strategik.
“Industri di Bintulu memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal untuk kerja pembinaan kemudahan, pemasangan peralatan, penyelenggaraan rutin dan aktiviti turnaround,” katanya.
“Melengkapkan golongan muda dengan kemahiran yang diperlukan industri bukan sahaja membuka laluan kepada pekerjaan berkualiti, malah membantu syarikat memenuhi keperluan tenaga kerja mahir,” katanya ketika merasmikan Program TalentPath Sarawak 2026 Siri Bintulu di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan kerana tenaga kerja tempatan merupakan pemacu utama kepada kemajuan ekonomi negeri.
Katanya, ketika Sarawak giat menarik pelaburan baharu dan membangunkan industri berimpak tinggi, rakyat tempatan perlu dipersiapkan dengan kemahiran yang relevan agar dapat mengambil bahagian secara langsung dalam pembangunan tersebut.
“Kita tidak mahu melihat industri berkembang pesat tetapi rakyat kita tidak cukup bersedia untuk mengambil peluang dan menikmati manfaat daripada pertumbuhan itu,” katanya.
Roland berkata, Program TalentPath Sarawak 2026 diwujudkan sebagai platform strategik bagi membangunkan tenaga kerja yang berkemahiran, mudah menyesuaikan diri dan bersedia memenuhi keperluan industri masa depan.
Beliau berkata, Bintulu dipilih sebagai antara lokasi utama program berikutan kedudukannya sebagai hab industri yang berkembang pesat dalam sektor tenaga, petrokimia, pembuatan, pembinaan dan industri berat.
Menurutnya, perkembangan sektor-sektor tersebut mewujudkan permintaan tinggi terhadap tenaga kerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan praktikal, sekali gus memerlukan perancangan pembangunan bakat yang lebih tersusun.
“Ketika Sarawak terus menarik pelaburan bernilai tinggi dan membangunkan industri baharu, kita mesti memastikan bakat tempatan mempunyai kompetensi serta kemahiran yang diperlukan untuk merebut peluang yang tersedia,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan bakat tidak seharusnya hanya bermula selepas peluang pekerjaan diwujudkan, sebaliknya keperluan tenaga kerja perlu dijangka lebih awal agar pertumbuhan industri dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang memberi manfaat kepada rakyat tempatan.
Roland berkata, TalentPath Sarawak turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya sasaran untuk meningkatkan jumlah pekerja berkemahiran di Sarawak kepada 500,000 orang menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, pencapaian sasaran itu memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi latihan berkualiti, pensijilan yang diiktiraf industri, padanan kemahiran dengan permintaan pasaran serta peluang pekerjaan sebenar.
Sehubungan itu, beliau menggesa sektor industri supaya terus memainkan peranan aktif dalam pembangunan modal insan dengan melihat pelaburan dalam bakat tempatan sebagai langkah strategik untuk memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
“Melabur dalam bakat tempatan hari ini akan membantu mengurangkan jurang kemahiran serta memperkukuh ketersediaan tenaga kerja mahir yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan industri Sarawak pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata memorandum persefahaman (MoU) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia yang dimeterai pada Mac lalu menyasarkan latihan kepada lebih 500 rakyat Sarawak tahun ini dalam bidang teknikal berpermintaan tinggi.
Antara bidang yang ditawarkan ialah kimpalan, perancah, blasting and painting, mechanical fitting dan pipe fitting, yang mempunyai kaitan langsung dengan sektor minyak dan gas, petrokimia, tenaga, pembinaan serta industri berat.
Katanya, kerjasama itu membuktikan pembangunan kemahiran dapat diselaraskan secara langsung dengan peluang pekerjaan sebenar yang diperlukan industri.
Beliau turut menekankan kepentingan latihan Harvesting Specialist dan Pendawaian Satu Fasa dalam memenuhi keperluan tenaga kerja khusus di Sarawak.
Menurutnya, latihan Harvesting Specialist menyokong industri kelapa sawit negeri yang meliputi kira-kira 1.62 juta hektar, terutama dalam menangani kekurangan pekerja mahir serta mempercepatkan penggunaan mekanisasi dan teknologi dalam sektor berkenaan.
Sementara itu, latihan Pendawaian Satu Fasa membantu melahirkan tenaga kerja berkemahiran dalam bidang elektrik yang diperlukan sektor pembinaan, perumahan, utiliti, penyelenggaraan bangunan dan pembangunan infrastruktur.
Roland berkata, inisiatif pembangunan bakat yang dilaksanakan kerajaan turut menyokong sasaran Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk melahirkan 500,000 tenaga kerja berkemahiran di Sarawak menjelang 2030.
Beliau berkata, pencapaian sasaran itu tidak hanya bergantung kepada jumlah program latihan yang dilaksanakan, sebaliknya memerlukan latihan yang relevan, pensijilan yang diiktiraf, padanan kemahiran dengan keperluan industri serta peluang pekerjaan yang jelas.


